Ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azhar Abdullah, menegaskan bahawa pasukannya bukan sekadar pelengkap kuota, bahkan sedia memberi cabaran kepada semua pasukan dalam Liga Perdana.
Biarpun menggunakan sebahagian besar muka baharu yang datangnya daripada anggota tentera, Azhar berharap ATM mampu berada di tahap lebih baik berbanding musim lalu.
Sekiranya mereka mampu menamatkan cabaran sekurang-kurangnya di pertengahan liga, itu sudah cukup baik buat ATM yang lebih selesa dengan status 'underdog'.
"Pada saya, kalau boleh kami mahu kekal dalam Liga Perdana dan membarisi kelompok empat terbaik.
"Tetapi sasaran itu perlulah dilaksanakan sebaik mungkin, kalau setakat untuk memenuhi kuota tiada gunanya meletak sasaran," ujar Azhar.
Azhar berharap pihak pengurusan memberi lampu hijau untuknya menggunakan khidmat pemain import yang dilihat memberi banyak perbezaan hala tuju pasukan itu pada pertengahan musim.
Berdasarkan hakikat semua pasukan dalam Liga Perdana hampir pasti menggunakan pemain import, dia juga tiada pilihan lain untuk berbuat demikian.
"Kehadiran pemain import mampu memberi tunjuk ajar kepada ATM. Ini kerana kebanyakan pemain kami adalah muka baru," tambahnya.