Skip to main content

Bola Sepak

Asensio: Zidane cetus kebangkitan Madrid

marco-asensio_veeixennelbx1tu2xcb57ax59.jpg
REAL BETIS 3 REAL MADRID 5

Marco Asensio percaya perbincangan pasukan Zinedine Zidane itu pada masa rehat menjadi kunci kebangkitan dalam kemenangan 5-3 Real Madrid ke atas Real Betis di Benito Villamarin dalam LaLiga, awal pagi tadi.


Asensio membuka jaringan bagi membawa Madrid di depan tetapi pemain sayap veteran, Joaquin, menjadi inspirasi buat Betis meledak dua gol dalam tempoh empat minit untuk mendahului 2-1 menuju waktu rehat.

Madrid, yang melakar kemenangan 3-1 di Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara, bagaimananapun, kembali garang dengan tiga gol selepas rehat untuk menguasai perlawanan semula.

Sergio Ramos menanduk masuk bagi menyamakan kedudukan sebelum Asensio dan Cristiano Ronaldo meledak, dengan Karim Benzema melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan selepas Sergio Leon menghadiahkan gol keempat untuk Betis musim ini.

Ia adalah pertemuan mendebarkan tetapi Asensio percaya pembetulan yang dibuat Zidane semasa waktu rehat adalah kunci kemenangan Madrid.

"Kami mengambil kesempatan daripada waktu rehat untuk berbincang di bilik persalinan dan membetulkan beberapa perkara," kata Asensio, yang jaringan keduanya adalah gol ke-6,000 Madrid dalam LaLiga.

"Perubahan dapat dilihat, kami mengawal semula perlawanan. Jujurnya, dalam beberapa perlawanan terakhir, saya fikir ada peningkatan.

"Saya fikir kami memasuki dinamika baik yang membuat kami optimis tentang apa yang akan datang," tambahnya.

Zidane memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai apa yang dikatakannya kepada pemain Madrid pada waktu rehat.

"Perkara itu kekal di bilik persalinan," kata Zidane. "Tetapi benar saya bercakap dengan mereka untuk menerangkan beberapa perkara dan kami melakukan lebih baik pada babak kedua.

"Tetapi mereka juga mahu melakukan lebih banyak. Mereka sedar bahawa kami tidak terlalu baik pada hujung babak pertama dan kami perlu berubah. Dan kami akhirnya berubah."
 

Advertisement

Must Watch Video