Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Arsenal tidak dapat kawal Rennes dengan 10 pemain -- Emery

arsenal.jpg
RENNES 3 ARSENAL  1

Arsenal tidak dapat mengawal Rennes dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Europa selepas Sokratis Papastathopoulos dilayangkan kad merah, kata pengurusnya, Unai Emery, selepas perlawanan di Roazhon Park, awal pagi tadi.


The Gunners mendahului seawal minit ketiga menerusi Alex Iwobi, namun Sokratis dilayangkan kad kuning kedua tujuh minit selepas itu dan Benjamin Bourigeaud menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang sebelum waktu rehat separuh masa.

Gol sendiri Nacho Monreal disusuli jaringan daripada tandukan Ismaila Sarr memberikan tuan rumah tambahan dua gol untuk pasukan Ligue 1 itu melakar kejutan menerusi kemenangan 3-1.

Emery -- juara tiga kali Liga Europa sewaktu bersama Sevilla -- berasakan Arsenal menguasai permainan sebelum Sokratis dibuang padang dan terpaksa menanggung padah akibat gagal menghalang dua jaringan lewat Rennes itu.

"Kami mengawal 40 minit pertama perlawanan. Selepas layangan kad merah itu, kami tidak lagi dapat mengawalnya," katanya kepada BT Sport.

"Kami mahu mengekalkan penguasaan dengan kekurangan seorang pemain, namun juga mahu memanfaatkan peluang atau memperoleh penguasaan di sekitar kotak penalti.

"Kami memperoleh percubaan daripada Mesut (Ozil), namun ia masih tidak cukup.

"Ketika keputusan 2-1, ia semakin sukar untuk mendapatkan keputusan lebih baik.

"Kami mahu mempertahankannya, namun peralihan itu merupakan satu lagi tindakan tidak wajar buat kami dan mereka memenangi perlawanan.

"Mereka memenangi 90 minit pertama, namun kami masih ada 90 minit lagi di laman sendiri dengan penyokong kami dan kami mahu berfikiran positif.

"Ia akan menjadi perlawanan 11 lawan 11 dan apabila kami bermain dengan 11 pemain, pasukan ini akan beraksi lebih baik," katanya.

Jaringan Sarr tiba selepas Emery mengeluarkan Pierre-Emerick Aubameyang bagi memperkuatkan jentera pertahanan pasukannya.

Emery berkata: "Saya memilih untuk tidak memberikan Eddie Nketiah tanggungjawab besar dalam perlawanan ini, namun disebabkan satu peralihan, kami tidak dapat melakukannya.

"Apabila kami kekurangan seorang pemain, saya berasakan kami mampu untuk beraksi lebih baik, namun kami tidak dapat menguasainya dan tidak beraksi baik untuk mempertahankan keputusan itu.

"Ia mungkin akan berubah dalam perlawanan kedua, namun kami perlu beraksi lebih kompak," katanya.

Advertisement

Must Watch Video