ARSENAL 2 LIVERPOOL 1
Mikel Arteta percaya bahawa dia menghadapi tugas yang lebih sukar di Arsenal daripada Arsene Wenger, yang tiba di London pada 1996, di sebalik dia mula melihat semangat perjuangan The Gunners.
Arsenal menumbangkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, 2-1 di Stadium Emirates, awal pagi tadi, tetapi Arteta mengakui jurang di antara pasukan itu tetap "sangat besar".
Diminta oleh Sky Sports untuk membandingkan cabaran di antaranya dengan Wenger, yang mengambil alih pasukan yang menduduki tempat kelima dalam musim sebelumnya dan muncul juara dalam kempen keduanya, justeru Arteta sedar mengenai cabaran di depannya.
"Saya rasa konteksnya berbeza," kata pengurus kelahiran Sepanyol itu, yang menggantikan Unai Emery Disember lalu.
"Saya berasakan persaingan di negara ini lebih sukar daripada sebelumnya.
"Arsene telah melakukan beberapa perkara yang luar biasa dan dia menanam falsafah baru, idea baru ke negara ini dan dia sangat berjaya. Saya belum mencapai apa-apa lagi. Saya mempunyai semua yang perlu dilakukan.
"Kami akan memerlukan sokongan, kepercayaan dan kami harus menuju ke satu arah, tidak peduli apa yang terjadi."
Arsenal memadam gol pembukaan Sadio Mane dan mula mendahului susulan kelekaan Liverpool yang dihukum oleh Alexandre Lacazette dan Reiss Nelson.
Sehubungan itu, Arteta tidak meragui kemampuan Arsenal untuk menyaingi The Reds apabila menjelaskan: "Ini jurang yang sangat besar. Kami hanya perlu melihat perbezaan di antara kedua-dua pasukan pada hari ini.
"Jurang itu sangat besar. Kelopongan di banyak tempat yang tidak dapat kami perbaiki dalam dua bulan.
"Tetapi jurang daripada segi tanggungjawab, tenaga, komitmen dan semangat berjuang tetap setara. Sebelum ini, ia tidak seperti ini. Saya sangat bangga dalam soal itu.
"Selebihnya akan memakan masa, apapun kami mula mendapatkannya sekarang. Mesej saya kepada pemain adalah, 'kita boleh cipta sesuatu.'"
Arteta akur kelab dari London itu juga perlu melabur sekiranya berhasrat mengatasi kekurangan tersebut.
"Saya tidak tahu (jika Arsenal mempunyai kewangan yang mencukupi) -- ini satu kebimbangan besar," katanya lagi.
"Anda hanya perlu melihat bagaimana Liverpool membina pasukan itu dan ia bukan satu keajaiban.
"Anda perlu meningkat menerusi pemain yang berkualiti dan anda memerlukan pasukan yang lebih besar untuk bersaing dalam kejohanan ini. Itulah cabarannya."
Shaiful Shamsudin
Thu Jul 16 2020