LIGA SUPER MSIA
Annuar: Potong mata dalam liga lebih bersifat ugutan
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, membidas tindakan memotong mata dalam Liga Malaysia (Liga M) yang bakal dilakukan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) ke atas pasukan yang tidak melangsaikan hutang gaji pemain mereka yang tertunggak.
Annuar, dalam entri terbaharu laman sosial, Facebook, berasakan tindakan terbaharu yang ingin dilakukan FMLLP lebih kepada bersifat ugutan dan bukannya membantu pasukan yang bertanding.
“Saya mengharapkan FMLLP perlu lebih bijaksana dalam mengendalikan liga. Mereka harus arif soal selok-belok mengendalikan pasukan dan Liga M. Mereka harus memahami isu sebenar yang dihadapi pasukan.
Iklan
“Mereka harus faham pasukan yang menyertai liga memberi nyawa kepada FAM tetapi mereka sendiri ‘bernyawa-nyawa ikan’ kerana berada dalam liga dengan kos tinggi dan tidak dapat hidup bersendirian,” katanya.
Annuar menambah pasukan yang menyertai Liga M juga terpaksa melakukan apa sahaja untuk mencari dana kewangannya sendiri bagi membolehkannya bersaing dengan pasukan lain.
“Pasukan-pasukan terpaksa menagih wang tajaan, termasuk dari anak syarikat agensi kerajaan, kerana ia tidak berdaya maju.
“Berbelanja minimum dari RM15 juta hingga ke puluhan juta mengejar hadiah tak sampai RM2 juta semusim!!! Harga tiket RM10 hingga RM16…berapa pendapatannya?. Memotong mata lebih bersifat ugutan dan hukuman dan bukan membantu,” katanya.
Annuar, yang juga penaja utama The Red Warriors (TRW) musim ini, mendakwa sekiranya pasukan yang bertanding hanya menjadi kuda tunggangan untuk menyenangkan FMLLP dan FAM, adalah lebih baik mereka tidak menyertainya.
“Jika kita hanya menjadi tunggangan untuk menyenangkan FMLLP dan FAM yang berbelanja besar, maka lebih baik kita tidak menyertai langsung sekiranya sikap mereka lebih kemaruk untuk menghukum dan bukannya cuba untuk membaiki keadaan dan mencari punca sebenar,” katanya lagi.
Annuar juga menggesa punca sebenar perlu dicari berbanding menghukum pasukan yang bertanding kerana ada faktor besar yang lambat-laun akan menimpa lebih banyak pasukan.
“Hendaklah difahami tiada siapa yang mahu kekal berhutang atau tidak membayar gaji. Ada faktor besar yang lambat-laun akan menimpa lebih banyak pasukan dalam liga jika punca sebenar tidak cuba diselesaikan!,” katanya.
Must-Watch Video