Teka-teki dan kebimbangan penyokong setia The Red Warriors (TRW) berakhir apabila bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendaftarkan 23 pemain dahulu, sekaligus memastikan TRW terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.
Annuar menerusi laman sosial Facebooknya hari ini menyifatkan KAFA perlu bertindak demikian demi menjaga maruah, menghargai sokongan penyokong setia dan membangunkan bola sepak Kelantan dalam perjumpaan bersama Exco KAFA, malam tadi.
“Pertemuan dengan Exco KAFA baru selesai. Esok KAFA diminta daftar 23 pemain dulu, sekaligus meneruskan penyertaan dalam Liga Super.
"Ini perlu mereka lakukan demi menjaga maruah Kelantan, menghargai sokongan penyokong setia serta terus membangunkan bola sepak Kelantan,” katanya.
Annuar berjanji akan mengadakan sidang media hari ini bagi menjelaskan segala perancangan yang telah dibincangkan bersama Exco KAFA.
“Saya selaku Presiden Kumpulan Alhamra dan Pengerusi Red One akan menemui media esok (hari ini) jam 11.00 pagi di Hotel Sutra Inn, Kota Bharu,” katanya.
Pengumuman ini pastinya menamatkan segala cerita duka yang ditempuhi oleh KAFA dalam usaha mencari sumber tajaan berjumlah RM15 juta dan kegagalan kerajaan negeri mengotakan janji bagi membantu skuad TRW bersaing dalam Liga-M musim ini.
Stadium Astro
Thu Jan 05 2017