Skip to main content

Bola Sepak

Annuar: Kalau tak setuju tak payah ambil

img_8542.jpg
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, sekali lagi mengingatkan semua bekas pemain The Red Warriors (TRW) bahawa tawaran penyelesaian hutang tertunggak yang mula menjadi kontroversi bukan datangnya daripada KAFA, sebaliknya beberapa penaja yang bermurah hati ingin menyumbang mengikut cara masing-masing.

Annuar dalam status sosial Facebooknya menyifatkan pemain boleh tidak bersetuju untuk menerima tawaran tersebut kerana itu hak mereka tetapi janganlah bersikap ‘kurang cerdik’ dengan menyatakan tawaran tersebut sebagai zalim dan menindas.

“Masih ada yang ‘kurang cerdik’ bila kita ‘bersukarela’ memberi tawaran…Mengemis?..Siapa suruh mengemis?..Kalau nak tunggu KAFA bayar tunggu jelah. Itu hak mereka. Tawaran ini bukan dari KAFA tapi kita yang nak bantu kedua dua pihak. Zalim ke? Kalau tak setuju tak payah ambik,” katanya.

Annuar yang juga penaja utama TRW musim ini meminta bekas pemain tidak mengungkit soal ‘titik peluh’ kerana ada banyak lagi pihak yang bertungkus-lumus di luar padang bagi memastikan kebajikan pemain tetap terjaga.

“Usah ungkit soal titik peluh…kerana ada yang dapat wang dari titik peluh yang kadang kala dengan prestasi yang tak seberapa. Itu tidak kisahlah. Hutang tetap hutang.

"Tapi jangan lupa ada juga orang yang terpaksa mengeluar titik peluh untuk bola tanpa dapat wang pun tapi sebaliknya mengeluarkan wang untuk anda. Bola Kelantan bukan ditampung dari titik peluh bola sahaja. Ada orang yang kena bekerja di luar padang untuk tanggung yang di dalam padang,” katanya.

Annuar terus mengingatkan pemain bahawa tawaran tersebut dibuat untuk membantu kedua-dua belah pihak (KAFA dan pemain) menyelesaikan isu tunggakan gaji dengan cepat dan meminta semua pihak bersama-sama berkorban demi pasukan TRW.

“Sekali lagi saya ulang. Tawaran ini bukan dari KAFA. Ia juga bukan paksaan. Bagi yang hendak ringankan beban KAFA, bolehlah ‘bermurah hati’ menyumbang mengikut cara masing-masing.

"Bagi yang tak mahu, usah pandang rendah usaha sukarela orang yang nak menolong. Hak anda tetap hak anda…dan tunggu sajalah.

"Bagi yang sukarela nak sama-sama ringankan beban pasukan kita, jom kita sama-sama berkorban untuknya mengikut kemampuan masing-masing. Usah buat tak faham perkara yang sangat mudah difahami. Semoga diberkati,” katanya.

Status berkenaan dimuat naik oleh Annuar dipercayai menyindir bekas pemain Kelantan yang beraksi dengan pasukan lain musim ini yang mendakwa tawaran daripada penaja itu tidak masuk akal dan mahu mereka ‘mengemis’ bagi mendapatkan hasil titik peluh sendiri.

Advertisement

Must Watch Video