Skip to main content

Bola Sepak

Almeida tuntut Melaka segera tingkatkan prestasi

eduardo-almeida-melaka-020717.jpg
Pengendali baru Melaka United, Eduardo Almeida, mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki pasukannya untuk mengelak daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim hadapan. 

Penilaian Almeida itu berdasarkan persembahan pasukannya yang seri 1-1 dengan PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Melaka membuat langkah drastik dengan mengambil beberapa tonggak import dan juga tenaga tempatan bagi memperkuatkan cabaran pasukan. 

Ia bagi memastikan mereka dapat mengelak daripada terus berada dalam zon penyingkiran. 

"Ada perkara yang perlu diubah dan dipertingkatkan.

"Saya melihat pertahanan kami beraksi cukup bagus tetapi dalam serangan, kami tidak cukup pantas seperti yang saya harapkan.

"Bagaimanapun, ia adalah proses peringkat demi peringkat. 

"Dalam tempoh dua minggu, bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan permainan seperti yang saya hajati. 

"Kami perlu melakukannya dalam tempoh singkat kerana tidak punya banyak masa lagi," ujar jurulatih berbangsa Portugal itu. 

Dalam perkembangan lain, Semut Merah lebih mengutamakan Liga Super berbanding kempen Piala Malaysia bagi memastikan mereka terus kekal dalam saingan itu, musim depan. 

Itu pandangan pengendalinya, E. Elavarasan, sambil mengakui pasukannya gagal mengambil peluang terbaik untuk mengutip mata penuh ketika berdepan Melaka. 

Safee Sali muncul penyelamat PKNS menerusi sepakan penalti bagi mengikat kedudukan, namun dia terpaksa dikeluarkan berikutan mengalami kecederaan tulang selangka. 

Ketika ini, PKNS dan Melaka mengumpul 12 mata daripada 14 perlawanan untuk masing-masing berada di kedudukan ke-10 dan 11. 

"Kami perlu memperbaiki kedudukan kami dalam liga memandangkan banyak pasukan bergelut dalam zon penyingkiran. 

"Kami perlu meraih satu kemenangan terlebih dahulu untuk melonjakkan kedudukan kami," kata Elavarasan. 
 

Advertisement

Must Watch Video