Skip to main content

Bola Sepak

Almeida positif MU jinakkan Harimau Kumbang

eduardo-almeida-140717.jpg
Pertemuan dengan Pulau Pinang malam esok merupakan misi wajib menang buat skuad Melaka United (MU) untuk mencerahkan peluang keluar daripada zon penyingkiran.

Reputasi selaku juara Liga Perdana 2016 belum dapat menyerlahkan kemampuan skuad Hang Tuah untuk mencabar kelompok elit Liga Super musim ini.

Daripada 15 perlawanan, mereka hanya berjaya mengumpul 12 mata, sekaligus meletakkan MU di tangga ke-11 liga.

Enam mata membezakan mereka dengan Pulau Pinang yang berada di tangga terbawah ketika ini dan kemenangan perlu dijelmakan agar dapat terus bersaing dengan Sarawak serta PKNS FC bagi mengelakkan penyingkiran.

Di atas kertas, MU dilihat mempunyai kelebihan kerana bakal bermain di laman sendiri.

Pengendali MU, Eduardo Almeida, positif kemenangan mampu dilakar anak-anak buahnya selepas gagal meraih mata penuh dalam 10 aksi liga sebelum ini.

"Perlawanan esok semestinya sangat penting kerana kami sama-sama bersaing dengan mereka.

"Saya yakin jika dapat meraih tiga mata, pasukan kami akan dapat terus kekal dalam saingan liga ini dan hal itu disedari oleh semua pemain," katanya.

Aksi terakhir MU di laman sendiri menyaksikan mereka dikecewakan Kedah dengan kekalahan 2-4 meskipun dua kali mendahului lawan.

Bagaimanapun Almeida berasakan ada peningkatan daripada pasukannya dalam pertemuan itu tetapi kekal dengan pendekatan berwaspada terhadap kemampuan Pulau Pinang untuk mencipta kejutan.

"Pasukan lawan sudah tentu hadir dengan misi mahu menewaskan kami, namun kami harus sentiasa bersedia.

"Bermain dengan baik atau tidak, apa yang penting adalah mendapatkan kemenangan," ujar Almeida.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video