Skip to main content

Bola Sepak

Allardyce tekad bersara selepas bantu Palace kekal dalam EPL

15517sam-allardyce.jpg
Pengurus Crystal Palace, Sam Allardyce, bakal meninggalkan kelab itu dan bersara daripada bola sepak.

Allardyce mengumumkan keputusannya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, dengan menyifatkannya sebagai "keputusan mudah".

Pemergian pengurus berusia 62 tahun itu dari Selhurst Park dibuat selepas lima bulan dia menerima jawatan itu bagi menggantikan Alan Pardew.

Bekas pengurus England itu berkata, ia adalah masa yang sesuai untuk berundur meskipun berjaya mengekalkan Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan ke atas Arsenal, Chelsea dan Liverpool.

"Ini menjadi satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat tetapi bagi orang lain ia menjadi salah satu keputusan yang mudah," kata Allardyce dalam kenyataannya.

"Saya akan sentiasa berterima kasih kepada Crystal Palace dan (pengerusi) Steve Parish kerana memberi peluang kepada saya untuk bersara dengan penuh rasa bangga setelah membantu mengekalkan kelab ini dalam EPL.

"Tetapi, datang satu masa apabila anda perlu mengambil kira arah yang menentukan kehidupan anda -- dan itu perkara paling mudah bagi saya.

"Saya mahu menikmati kehidupan ini sementara masih agak muda dan tatkala saya masih sihat untuk melakukan semua perkara yang saya mahu lakukan seperti pengembaraan, menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga dan cucu saya tanpa tekanan besar yang hadir sebagai seorang pengurus bola sepak.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk saya. Saya tidak mempunyai cita-cita untuk mengambil tugasan lain, saya hanya mahu menikmati semua perkara yang benar-benar tidak dapat dinikmati ketika memenuhi tuntutan sepanjang masa sewaktu menguruskan mana-mana kelab, apatah lagi dalam EPL.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas mesej sokongan mereka sejak berita ini tersebar. Tidak syak lagi saya akan merindui bidang pengurusan tetapi saya pasti tidak menyesal dengan keputusan ini."

Dia yang pernah membimbing Bolton Wanderers, Newcastle United dan Blackburn Rovers -- tidak pernah tergelincir daripada EPL di bawah pengurusannya -- hanya sempat menguruskan skuad England dalam tempoh 67 hari sebelum meletak jawatan berikutan pendedahan akhbar mengenai skandal jual beli pemain.

Advertisement

Must Watch Video