Skip to main content

Bola Sepak

Aksi terbaik Lang Merah -- Nidzam

nidzam-adzha-yusoff-270717.jpg
Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, melabel kemenangan malam tadi sebagai aksi terbaik Lang Merah apabila berpesta gol 5-0 ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super.

Selepas tewas 3-1 kepada lawan yang sama dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia, Kedah belajar daripada kesilapan untuk kembali menghukum lawan dengan lima gol untuk mendominasi sepanjang permainan.

Semua pemain menjalankan tugas dengan begitu cemerlang jika dibandingkan dengan tiga perlawanan terdahulu, khususnya trio import mereka, Ken Ilso Larsen, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva, yang sering kali mencetuskan masalah kepada benteng Kelantan.

Pemain pertahanan muda, Ariff Farhan Md Isa, yang meledak gol pembukaan Kedah, bagaimanapun, dilanda kecederaan hamstring yang agak serius sebelum dikeluarkan pada penghujung babak pertama.

"Apabila pemain mendapat rehat yang cukup, mereka akan bermain dengan sangat baik. 

"Ini adalah perlawanan terbaik sepanjang saya bersama pasukan. Pemain menguasai sepanjang 90 minit permainan," ujarnya. 

Pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, mengakui berdepan tugas sukar untuk memulihkan kembali moral pemain sebelum aksi Piala Malaysia berdepan UiTM FC, lusa.

"Kekalahan ini bukan kekalahan terus. 

"Ia satu batu loncatan untuk kami meraih kejayaan, mungkin satu pengajaran buat kami," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video