Skip to main content

Bola Sepak

AFCON: Mesir ke separuh akhir selepas benam Maghribi buat kali pertama sejak 1986

egypt-1-morocco-0-kahraba-s-late-winner-ends-jinx.jpg
Mesir mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas meraih kemenangan lewat 1-0 ke atas Maghribi, buat kali pertama sejak 1986, di Stadium Port Gentil, Gabon, awal pagi tadi. 

Menamatkan 12 perlawanan tanpa sebarang kemenangan menentang Atlas Lions dalam aksi suku akhir, gol minit ke-87 daripada pemain gantian, Kahraba, itu membawa Mesir bertemu Burkina Faso dalam saingan empat pasukan terakhir.

Kemenangan itu hampir-hampir tidak tercipta selepas dua kali percubaan Essam El-Hadary terkena palang manakala Aziz Bouhaddouz turut terlepas beberapa peluang keemasan.

Mesir menjadi satu ancaman besar tetapi Munir juga telah bekerja keras menyelamatkan percubaan bahaya, sebelum penjaga gol itu tidak mampu untuk menghalang jaringan Kahraba.

Selepas gagal melayakkan diri ke tiga kejohanan terakhir, dan menjuarai tiga kejohanan sebelumnya, Mesir kini membawa reputasi skuad tanpa kalah dalam 23 perlawanan dalam pusingan akhir untuk menuju ke separuh akhir, Rabu ini.

Di sebalik permulaan garang, hantaran ke dalam daripada Ahmed Elmohamady membuka peluang kepada Trezeguet untuk melakukan rembatan, tetapi ia dihalang baik oleh Munir dengan menggunakan tapak tangan.

Mesir tidak dapat memperbaiki gerakan itu dan kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang sebelum rehat, dengan kesilapan hampir-hampir membenarkan Maghribi membuka jaringan.

Ali Gabr cuba mengeluarkan bola yang terlepas daripada rakan sepasukannya di depan gol dan tindakan lemah pertahanan itu membuka peluang kepada Romain Saiss untuk menanduk bola dari jarak dekat sebelum ia terkena palang.

Walaupun separuh pertama hambar, corak permainan pantas ditunjukkan selepas rehat, dengan Maghribi melakukan serangan bertubi-tubi.

Selepas itu, Mohamed Salah membuat percubaan yang memaksa Munir menggunakan hanya sebelah tangan untuk menyelamatkan bola.

Tekanan terarah kepada Munir apabila sekali lagi perlu menunjukkan ketangkasan apabila Salah sekali lagi muncul, dengan melakukan voli cantik selepas menyambut sepakan percuma Abdallah El Said.

Berbaki tiga minit sebelum tamat, Kahraba meledak.

Pemain gantian itu melakukan sentuhan ketika keadaan kelam-kabut selepas menerima hantaran sepakan penjuru dari kiri.
 

Advertisement

Must Watch Video