BOLA SEPAK
ACL: Mora tidak gentar turunkan 'barisan kedua'
Benjamin Mora masih lagi "berdegil" menjelang pertemuan menentang Guangzhou Evegrande apabila bercadang terus memberikan minit permainan buat barisan pemain kedua terbaik.
Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan misi wajib menang dalam dua aksi terakhir, faktor perbezaan jaringan menjadi motif utama dalam pertemuan malam di Stadium Sultan Ismail, malam esok.
Kali terakhir ketua jurulatih Harimau Selatan itu memberi kepercayaan kepada kelompok pemain ini beraksi menyaksikan mereka mengulangi kekalahan terburuk dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL), Mora berasakan keharmonian pemain menjadi keutamaannya.
Iklan
Malah, pengendali dari Mexico itu percaya sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab untuk membarisi kesebelasan utama berupaya mencipta pesta gol ke atas wakil kelab China berkenaan.
Nada ketegasan dan keyakinan Mora itu melambangkan juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu serius dalam pemburuan kutipan mata penuh ke atas Guangzhou dan Ulsan Hyundai.
Berdepan pasukan yang ditewaskan 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan I itu, Mora memulakan perang psikologi apabila memberi jaminan akan menurunkan muka baru dalam kesebelasan utama kali ini.
Cuma persoalannya, taruhan itu melibatkan pemain senior yang kembali membarisi skuad JDT atau sebaliknya.
"Saya tidak memikirkan apa yang terjadi di antara Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai.
"Kami hanya memikirkan tentang diri sendiri dan perlawanan bertemu Ulsan.
"Kami hanya fokus untuk memungut enam mata dan tidak memikirkan kemampuan pihak lawan.
"Selepas perlawanan, matematik akan berlaku (dengan sendirinya) dan kami tidak boleh bergantung secara emosi dan mental terhadap keputusan lain," katanya.
Mora lebih menitik beratkan adalah untuk menghasilkan gol awal perlawanan yang membawa kepada dominasi skuad Harimau Selatan itu.
"Kami akan mengetengahkan muka baru dan pemain baru pulih yang terlepas perlawanan terdahulu.
"Pemain ketika ini telah melakukan tugas dengan baik dan mereka mempunyai ciri-ciri berbeza.
"Kami memiliki pemain dan perlu turun dan cuba bermula dengan baik. Kami perlu menyesuaikan diri dan menguasai perlawanan tanpa mengira siapa yang diturunkan," katanya lagi.
Sementara itu, Guangzhou sedia menyajikan tentangan tersendiri buat tuan rumah.
Biarpun dibolosi 21 gol dalam empat perlawanan, ketua jurulatih Guangzhou, Yonghe Pan, menuntut skuad kendaliannya belajar daripada kesilapan daripada aksi lalu dan cuba sehabis baik mengelak daripada dibaham.
"Sudah tentu saya berharap pasukan lawan tidak menjaringkan banyak gol.
"Di pihak kami, kami cuba tingkatkan serangan dan memerlukan tuah untuk mencipta jaringan tapi pencabar juga berbuat demikian.
"Apa yang penting menjadi diri sendiri dan cuba yang terbaik. Kami akan cuba perbaiki prestasi dalam setiap perlawanan," katanya.
Must-Watch Video