Skip to main content

Berita

LHM: Penampilan terakhir Shahril Saabah ?

hoki

Bekas penyerang hoki kebangsaan, Shahril Saabah, memberi bayangan tahun ini adalah penampilan terakhirnya dalam kempen Liga Hoki Malaysia (LHM).

Dibelenggu episod kecederaan panjang yang mengambil masa lama untuk kembali semula ke prestasi asal, dia meluahkan rasa syukur apabila dipilih untuk menguatkan pasukan Maybank edisi kali ini.

Advertisement

"Mungkin ini LHM terakhir saya kerana perlu memilih kerjaya.

"Saya terpilih oleh jurulatih tetapi kaki saya tidak menghadapi sebarang masalah.

"Tiga minggu pertama latihan saya agak bergelut untuk serasi dengan pasukan yang muda tapi keadaan kini makin baik," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Dalam pada itu, aksi liga tahun ini bakal menyaksikan perubahan drastik buat pasukan Maybank dengan pengendalinya, Iman Gobinathan, mempertaruhkan tujuh muka baru selain Shahril serta Rashid Baharom.

Ia bagi memastikan nilai tambah positif mampu dituai ke dalam pasukan dalam misi mencabar takhta kejuaraan, sekali gus menggugat kekebalan dua gergasi hoki negara, Terengganu Hockey Team (THT) dan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Berbaki kira-kira dua minggu sebelum liga bermula, persiapan terakhir pasukan khusus kepada latihan untuk menambah keserasian pasukan dengan kesemua pemain baru.

"Banyak perubahan dilakukan. Saya menampilkan ramai wajah baru.

"Saya mahu dapatkan kombinasi terbaik daripada mereka.

"Saya ingin melihat sejauh mana percaturan menurunkan pemain muda sambil dibantu oleh pemain berpengalaman," katanya. 
 

Must Watch Video