Olimpian negara, Datuk Azizulhasni Awang, menyambut baik pengesahan daripada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohd Taufiq Johari, mengenai sokongan daripada kementerian bagi memastikan prestasinya kekal di tahap terbaik meskipun kini bergelar pelumba profesional.
Pemenang pingat perak dan gangsa dalam Sukan Olimpik itu turut menegaskan pendiriannya dalam memilih untuk bergerak secara individu sejak tahun lalu.
Advertisement
Ia demi memberi ruang pelumba muda program kebangsaan selain peruntukan bajet untuk menyertai latihan dan kejohanan.
"Cuma ada beberapa bantuan yang diperlukan memandangkan saya sudah berusia 38 tahun. Saya dan pasukan akan duduk berbincang dengan Dr Taufiq.
"Mungkin bukan masa terdekat kerana saya perlu pulang ke Melbourne untuk menjalani latihan dan perbincangan akan diadakan ketika Piala Dunia di Nilai, Seremban," katanya.
Namun, semangat untuk mengharumkan nama negara tetap membara di hati atlet kelahiran Terengganu itu dalam apa jua pertandingan yang disertainya.
"Sekembalinya saya sudah mengumumkan Sukan Komanwel dan Sukan Asia adalah keutamaan saya.
"Saya nak menang dalam penyertaan terakhir Sukan Asia.
"Dalam temasya Hangzhou 2022, saya mengalami kemalangan seminggu sebelum perlumbaan (temasya) dan ralat hingga terpaksa tarik diri kerana masalah bukan berpunca daripada saya.
"Dalam edisi Nagoya-Aichi, saya akan berikan 110 peratus," katanya.