Karsten Warholm melakar rekod dunia baru dalam acara 400 meter berpagar selepas wakil Norway itu merangkul pingat emas Sukan Olimpik Tokyo sebentar tadi.



Dia menjadi atlet pertama berlari di bawah catatan 46 saat, merekodkan 45.94 saat mengetepikan wakil Amerika Syarikat, Rai Benjamin (46.17s).

Ketiga-tiga pelari melakukan catatan di bawah 47 saat dan mengatasi rekod Olimpik yang terdahulu, dengan gangsa menjadi milik atlet Brazil, Alison dos Santos (46.72s).

Warholm sudahpun memegang rekod dunia, mencatatkan 46.70s di Oslo pada permulaan Julai lalu bagi mengatasi 46.78s yang dipegang Kevin Young sejak Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Sekarang dia telah memecahkan rekodnya sendiri, didorong dengan larian Benjamin sepanjang balapan.

Warholm mendahului sehingga memasuki 150 meter terakhir sebelum diberikan tekanan bintang AS menuju garisan penamat.

Atlet berusia 25 tahun dari Ulsteinvik kekal tenang dan mengekalkan rentak sebelum melakar satu lagi rekod dunia baru dalam acara olahraga.