Skip to main content

Bola Sepak

Euro 2020: Jangan harap Belanda kendur prestasi bertemu Macedonia Utara -- De Boer

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

de-boer.jpg
Belanda menyasarkan untuk mengungguli ketiga-tiga perlawanan di peringkat kumpulan buat ketiga kalinya dalam sejarah di pentas Eropah apabila menentang Macedonia Utara, tengah malam esok. 

Selepas membuka kempen dengan kemenangan 3-2 ke atas Ukraine, pasukan asuhan Frank de Boer itu garang menjinakkan Austria 2-0 dalam perlawanan kedua untuk memastikan tempat dalam pusingan 16.

Skuad Oranje sudah pasti di puncak Kumpulan C tetapi tiada perancangan untuk mengendurkan usaha mereka itu dengan melakukan rombakan besar. 

Belanda menang ketiga-tiga perlawanan di peringkat liga sepusingan Euro 2000 sebelum tewas kepada Itali dalam separuh akhir dan lapan tahun kemudian, mereka disingkirkan Russia dalam suku akhir. 

Hari ini, De Boer memberitahu media bahawa dia merancang untuk melakukan dua perubahan dalam kesebelasan utamanya tanpa menawarkan maklumat lanjut. 

Dia juga mengesahkan perancangannya untuk terus membariskan tiga pertahanan iaitu formasi yang menjadi resepi kejayaan mereka hingga kini.

"Ada cukup masa di antara perlawanan ini dan yang berikutnya, jadi kami boleh menurunkan kekuatan penuh menjelang fasa kalah mati," katanya.

"Kami mengalami beberapa detik yang sangat baik ketika menentang Ukraine dan Austria, tetapi masih ada perkara yang boleh diperbaiki. Itulah yang harus kami usahakan."

 

Tatkala Belanda dalam keadaan baik, seteru mereka, Macedonia Utara, akan beraksi dengan azam mengelak kekalahan ketiga berturut-turut dalam penyertaan sulung Euro.

Hanya dua negara yang dihadiahkan kekalahan hatrik iaitu Denmark pada 1984 dan Turki (1996).

Mereka hampir memastikan satu mata dalam perlawanan pembukaan menentang Austria sebelum tersungkur dengan dua gol lewat.

"Sudah tentu mereka mahu memperoleh kemenangan pertama tetapi kami mahu menang," kata De Boer lagi -- yang gagal menyempurnakan penentuan sepakan penalti dalam edisi 2000 -- menjelang perhitungan di Budapest itu. 

"Tidak mungkin kami mengambil mudah -- mereka menang 2-1 ketika menentang Jerman (Mac lalu). Ini bukan seteru yang boleh anda kalahkan dengan mudah dan mereka memberi kesukaran kepada Austria dan Ukraine. Kami harus dalam prestasi terbaik. "


 

Advertisement

Must Watch Video