Skip to main content

Sukan Lain

YAKEB komited salur bantuan buat bekas atlet berdepan isu ancaman keselamatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

YAKEB

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menegaskan keperluan bantuan secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek dalam menangani isu ancaman keselamatan yang dihadapi seorang bekas atlet wanita negara, susulan masalah hutang dengan pemberi pinjaman haram atau ‘Ahlong’.

Bekas Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor, berkata setiap atlet perlu tampil menjelaskan masalah sebenar yang dihadapi secara terperinci agar bantuan yang disalurkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Advertisement

“Kita perlu bantu secara menyeluruh dalam segenap aspek.

"Kadang-kadang ahli YAKEB ada perkara yang mereka tidak maklumkan kepada kami, sedangkan sebenarnya kami boleh membantu,” katanya.

Menurut Malek, berdasarkan maklumat yang diperoleh, atlet berkenaan sememangnya menerima bantuan kewangan bulanan daripada YAKEB, namun isu sebenar hanya diketahui kemudian.

“Setahu saya, semalam saya berhubung dengan Pengerusi YAKEB dan atlet tersebut memang menerima bantuan RM500 sebulan, tetapi dia tidak menjelaskan bahawa masalah sebenar ialah hutang dengan ahlong,” jelasnya.

Tambahnya, atlet terbabit perlu berterus terang mengenai situasi sebenar agar tindakan susulan dapat diambil dengan segera dan tepat.

“Dia perlu jelaskan masalah sebenar yang dihadapi kepada YAKEB.

"YAKEB telah membuat inisiatif untuk memberikan pekerjaan, tetapi mungkin gaji yang diterima tidak mencukupi,” katanya.

Malek turut menegaskan bahawa tindakan menyerahkan kes ugutan kepada pihak polis adalah langkah terbaik bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin daripada sebarang ancaman susulan.

“Dia sudah berasa terancam, jadi dia membuat laporan polis dan membawa perkara ini kepada YAKEB,” katanya.

Dia yakin kes tersebut dapat diselesaikan memandangkan YAKEB berpengalaman mengendalikan pelbagai isu melibatkan kebajikan atlet.

“Kita sudah bertahun-tahun mengendalikan kes seperti ini, jadi insya-Allah ia boleh diselesaikan. 

"YAKEB bukan hanya membantu atlet yang sakit, tetapi kes-kes seperti ini juga akan kita uruskan,” katanya.

Must Watch Video