"Peter Cklamovski boleh ucap selamat tinggal.
Demikian ungkapan pemerhati bola sepak negara yang merupakan bekas pengurus kelab bola sepak Selangor sebelum ini, Zakaria Rahim.
Advertisement
Selepas isu tujuh pemain tidak sah terpalit dengan pemalsuan dokumen, perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia bertemu Vietnam benar-benar menguji keupayaan sebenar ketua jurulatih Harimau Malaya itu semalam.
Ternyata tiada magis mampu dibuat pengendali kelahiran Australia itu tanpa tujuh pemain tidak sah yang menjadi pertaruhan utama sepanjang kempen musim ini.
Berbeza sama sekali dengan impak yang mampu dilakukan mantan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon, yang mencetak keputusan seri ke atas gergasi Asia, Korea Selatan, dengan mengunakan barisan hampir sama, dalam edisi Piala Asia lalu.
"Di sinilah terletaknya kewibawaan seorang jurulatih.
Antara magis Peter Cklamovski dan Kim Pan Gon, siapa lagi power ?
Aksi terakhir kelayakan Piala Asia tamat, tiba masa untuk Cklamovski ucap selamat tinggal atau adakah khidmat beliau masih perlu untuk tugasan di peringkat asia tenggara ? pic.twitter.com/88Lq8WCdgj— FinaNasrom (@fnasrom) April 1, 2026
"Apabila memiliki pemain terbaik, kamu boleh buat yang terbaik.
"Tetapi, jika tiada pemain berkenaan, kamu gagal.
"Bermakna kamu bukanlah jurulatih sebaiknya.
"Berbeza dengan Kim Pan-gon. Dia berikan terbaik buat pemain dan pemain membalas kepada dirinya.
"Dia tidak boleh lakukan apa yang Kim Pan-gon lakukan. Peter boleh ucap selamat tinggal kepada Harimau Malaya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Dalam masa sama, Zakaria turut mendesak entiti 'National Team (NT)' dibubarkan dan kembali ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Segalanya perlu bermula dari bawah sebaik tamat kempen kelayakan yang mengukir mimpi ngeri menjelang 100 tahun penubuhan badan induk itu pada September depan.
"Saya menyeru agar entiti NT ditutup, dan kita mulakan dari bawah untuk melangkah ke alaf baharu selepas 100 tahun penubuhan FAM.
"Barisan kepimpinan FAM yang baru mesti meletakkan sasaran terbaik," katanya lagi.