Sukan hoki dalam dewan menjadi topik perbincangan hangat susulan kegagalan meraih dua kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Thailand 2025, baru-baru ini.
Malah, ada yang menggesa kem negara untuk kembali mendapatkan khidmat Dhaarma Raj Abdullah yang kini merupakan Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia -- merangkap ketua jurulatih hoki dalam dewan Indonesia menjelang Sukan SEA Malaysia 2027.
Advertisement
Kem hoki dalam dewan negara pulang ke tanah air dengan dua pingat perak.
Skuad lelaki sekali lagi tewas kepada Indonesia dengan penyudah dramatik tatkala skuad wanita akur kehebatan tuan rumah, Thailand.
Lebih mengecewakan, skuad negara kecundang kepada tenaga pakar dari Malaysia, sekali gus menguatkan lagi desakan untuk kembali mempertaruh kepercayaan kepada Dhaarma.
Namun, bekas pemain negara sebulat suara memperincikan kepentingan program sepenuh masa sebagai agenda utama berbanding lantikan jurulatih skuad hoki dalam dewan.
"Jika kita bandingkan dengan Indonesia, mereka sudah membina kelengkapan untuk pemain sepenuh masa boleh berlatih.
"Di Thailand pula, mereka juga sudah mempunyai fasiliti tetap.
"Tetapi di Malaysia bagi hoki dalam dewan tiada kemudahan itu. Nasib baik kategori padang tiada masalah di Bukit Jalil.
"Ini adalah perkara utama untuk dipelajari jika kita semua mahu pergi jauh," kata bekas jurulatih kebangsaan, I. Vikneswaran, kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Sementara itu, Vikneswaran menggesa kepentingan tempat latihan khusus buat skuad hoki dalam dewan negara.
Keperluan asas seumpama ini merupakan cerminan tahap keseriusan untuk sukan hoki dalam dewan terus maju menjelang temasya dwitahunan itu di tempat sendiri.
"Perancangan harus bermula awal. Jika hanya ada baki tiga bulan sebelum kejohanan dan menjangkakan untuk membawa pulang pingat emas sangat sukar.
"Bagus jika kita panggil semula jurulatih Malaysia di luar negara. Tetapi tiada guna jika berlatih tiga bulan sahaja.
"Perlu ada perancangan rapi. Apakah yang sepatutnya dilakukan menjelang 2027," tambahnya.