Kem tenis kerusi roda negara tampil dengan hasrat besar untuk membawa pulang dua pingat emas dalam edisi Sukan Para ASEAN kali ini selepas kejayaan yang dilakukan dalam edisi 2022 dengan meraih satu emas.
Namun, menjadi kebimbangan dengan melihat kepada pelapis yang bakal menggantikan senior sekiranya tiba masanya untuk proses transisi itu berlaku.
Advertisement
Bekas pemenang emas Sukan Para ASEAN 2022, Yusshazwan Yusoff, berharap barisan atlet pelapis dapat diberikan lebih pendedahan untuk bantu mereka kejar kedudukan barisan elit dengan lebih berkesan.
"Perlu ada banyak pendedahan kepada mereka, pemain seperti kami melihat pemain luar negara, tahap pemain remaja mereka kian cepat meningkat.
"Daripada segi Latihan mereka semakin baik, tenis ini bukan jangka masa pendek tetapi perlu tempoh yang lama. Perlu sistematik dan berkesan. Mereka perlu dapat pendedahan dalam kejohanan." katanya.
Sementara itu, jurulatih podium dan pelapis tenis kerusi roda negara, Talhah Rahizam, menyifatkan mereka perlu sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun untuk mengubah pemain pelapis yang ada ketika ini untuk berada di tahap sama dengan Abu Samah dan juga Yusshazwan Yusoff.
"Untuk pelapis, pemain masih muda iaitu berusia 21 tahun. Perlukan tiga hingga empat tahun untuk capai tahap tinggi.
"Pelapis tidak banyak beraksi dalam kejohanan, jadi mereka perlu dapatkan pengalaman seperti Abu dan Syazwan." tambahnya.