"Lebih baik jika pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, meneruskan program latihan bersama pihak pengurusan dan jurulatih peribadinya yang sedia ada"
Itulah reaksi bekas raja pecut Asia Tenggara (ASEAN), Nazmizan Muhammad, susulan cadangan Olahraga Malaysia (MA) untuk membawa masuk juara Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 berlatih bersama skuad kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Advertisement
Nazmizan tidak menafikan cadangan tersebut, namun baginya perancangan semasa daripada pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama ayah atlet berusia 18 tahun itu berada di laluan betul.
Selain dapat meneruskan tempoh pengajian, fasiliti latihan lengkap serta khidmat sains sukan di UPSI juga mampu memastikan Danish kekal dengan prestasi terbaik.
"Untuk ketika ini, kita serahkan kepadanya bersama keluarganya dan pihak UPSI di mana UPSI juga memiliki pakar-pakar tersendiri yang menjadi rujukan buatnya.
"Bekas-bekas pelari Malaysia juga ada membantu Danish apabila menyertai pertandingan berperingkat tinggi," katanya.
Pendekatan terbaik daripada MA serta MSN buat masa ini adalah untuk menyokong segala keperluan buat Danish dan memantau prestasinya secara berkala.
"Kita perlu menyokong Danish melalui apa yang sebenarnya MA, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) boleh membantu.
"Di mana dia berlatih, yang penting dia meneruskan latihan.
"Kita boleh memerhatikan prestasinya," tambahnya.
Untuk rekod, Danish berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) ketika meraih gangsa Sukan SEA Thailand, baru-baru ini.