'Kualiti, fasih berbahasa Melayu dan tidak berusia.'
Itu tiga syarat wajib yang perlu dipenuhi oleh mana-mana pemain import untuk mendapat status naturalisasi negara.
Advertisement
Pemerhati bola sepak negara, Zakaria Rahim, menegaskan kerajaan perlu memandang serius mengenai perkara itu agar 'pisang tidak berbuah dua kali'.
Zakaria mahu semua pihak menjadikan kes pemain naturalisasi terdahulu seperti Lee Tuck, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai iktibar.
Bekas pengurus Selangor itu tampak mengakui pemberian kerakyatan kepada ketiga-tiga pemain itu sebagai sia-sia kerana tiada pulangan buat negara.
"Untuk pemain asing mewakili negara selepas lima tahun itu memang syarat FIFA, tetapi kita boleh gunakan konsep Malaysia dimana memenuhi beberapa syarat seperti wajib mengetahui Bahasa Malaysia, boleh nyanyi lagi Negaraku, dan tahu rakun negara secara dalam hati.
"Kita tahu mereka menjiwai dan bukan semata-mata dapat mewakili Malaysia. Kita ambil contoh Liridon dan Lee Tuck dan De Paula mereka beraksi mewakili Malaysia tidak lebih 10 aksi pun.
"Paling lama dua tahun iaitu Liridon, Lee Tuck dan De Paula hanya setahun jadi tiada makna di situ," katanya.
Isu ini hangat diperkatakan susulan beberapa pemain import Liga Malaysia sudah memenuhi syarat naturalisasi FIFA.
Antaranya Bergson Da Silva, Giancarlo Gallifuoco termasuk Argzim Redzovic yang sudah melengkapkan tempoh lima tahun bermastautin secara berterusan di Malaysia.
"Sama ada pemain import atau warisan diberikan kewarganegaraan, mereka harus berbakti buat negara dan bukan negara asal mereka kerana mereka cari makan di sini terutama pemain import.
"Kita bagi kewarganegaraan, tetapi apabila tinggalkan negara ini bermakna mereka sudah khianat.
"Walaupun dibenarkan FIFA, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) haruslah mempunyai syarat tertentu yang ketat dengan isu pemain warisan sebelum ini.
"Tiba masanya JPN tidak sewenang-wenangnya menerima permintaan kelab untuk berikan kad pengenalan untuk pemain yang sudah capai syarat minima FIFA iaitu lima tahun di negara ini." tambahnya.