Pelumba Elit, Azroy Hakeem Anuar, daripada Pasukan Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing menebus kehampaan di Litar Tangkak apabila meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2026.
Dengan kawalan jentera yang kemas dan pacuan yang konsisten, dia menguasai perlumbaan itu untuk muncul juara.
Advertisement
Azroy Hakeem yang sebelum ini menamatkan perlumbaan di tempat keempat tahun lalu, tampil lebih bersedia musim ini dengan aksi cemerlang sejak sesi superpole sebelum mengekalkan momentum hingga ke perlumbaan sebenar.
Kasma Daniel Kasmayudin daripada Psukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Md Haziq Md Fairues daripada Idemitsu Honda YAM Racing melengkapkan podium di tempat ketiga.
"Kemenangan ini sesuatu yang tak dijangka kerana selama tujuh tahun ini, ada sahaja rintangannya dalam perlumbaan sebenar biarpun beraksi baik dalam sesi kelayakan.
"Kali ini kami boleh buktikan jadi kami mula percaya mampu mencipta kejayaan pada musim ini.
"Saya paling menyerlah selama lima tahun dalam peraturan lama tapi pasukan Honda lain juga menyerlah setelah agak bergelut sebelum ini," kata Azroy Hakeem.
Sementara itu, pelumba Negeri Sembilan berusia 22 tahun, Md Idlan Haqimi Raduan, daripada pasukan Zynergys Honda KC Racing Team, sekali lagi mencuri tumpuan kategori CP125.
Bermula dari petak utama sebelum kemalangan melibatkan beberapa pelumba lain merencatkan pacuan, namun dia berjaya memintas semula kelompok hadapan sebelum menamatkan perlumbaan sebagai juara.
kemenangan ini menyaksikannya mempertahankan kejuaraan di Tangkak buat tahun kedua berturut-turut.
Tidak cukup dengan itu, aksi sengit turut mewarnai kategori Wira dalam pusingan pembukaan ini, menyaksikan pertarungan empat pelumba teratas yang cukup mendebarkan.
Namun, tunggangan Akid Mohd Shah (Honda RS Megatech Racing Team) yang berjaya mengawal tekanan dan melakukan pintasan penting untuk muncul sebagai juara.