Jurulatih skuad B-16 negara, Shukor Adan, tidak menafikan kualiti yang dimiliki skuad Naga Emas menjelang perlawanan akhir Kejuaraan ASEAN B-17 menentang Vietnam di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia, malam ini.
Meskipun 'dikecam teruk' selepas tewas kepada Vietnam dalam permulaan kempen itu, namun Shukor optimis mentak anak buahnya semakin matang untuk turun di atas padang.
Advertisement
"Kita tahu pasukan Vietnam antara pasukan yang kuat, menjaringkan 16 gol dan hanya bolos satu gol setakat ini. Namun, kita akan turun dengan taktikal berbeza dalam perlawanan akhir nanti.
"Tak dinafikan, walaupun kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir, semua orang boleh menilai kualiti yang ada pada pemain Vietnam. Jika kita lihat daripada peringkat B-17 sehingga B-23, mereka mempunyai sistem pembangunan skuad yang sangat baik.
"Bagi saya, perlawanan menentang Vietnam ini adalah perlawanan yang semua orang akan cakap sukar, tetapi kami akan cuba buat sedaya apa yang termampu.
"Alhamdulillah kita berjaya ke final. Selepas dikecam teruk daripada kekalahan dengan Vietnam sebelum ini, saya rasa pemain-pemain Malaysia ini mempunyai sikap mental yang agak kuat.
"Tanpa dijangka, pasukan ini berjaya melakukannya ke perlawanan akhir tanpa dibolosi dalam tiga perlawanan terakhir.
"Saya hanya beritahu pemain supaya nikmati momen ini kerana mereka telah mencipta sejarah sebagai pasukan termuda yang melayakkan diri ke final.
"Perlawanan akhir ini hanyalah tentang semangat. Cuma pemain sahaja yang akan menentukan keputusan pada perlawanan malam esok (malam ini)." katanya seperti dipetik Sinar Harian.