Beregu lelaki senior negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dipaksa berhempas pulas oleh gandingan meningkat naik dari China, Chen Xu Jun-Liu Yang, sebelum layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kedua, gandingan negara itu menguasai penuh set pertama untuk mendahului 8-0 dan selepas itu, mereka mula meraih mata-demi mata sebelum menang 21-14.
Advertisement
Bagaimanapun, permulaan perlahan dalam set kedua jelas mengundang padah apabila Xu Jun dan Liu Yang memanfaatkan pendahuluan awal mereka untuk mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 21-14.
Perlawanan kian sengit pada awal set ketiga tetapi selepas itu, Aaron dan Wooi Yik mula mengorak langkah untuk akhirnya menamatkan saingan dengan kemenangan 21-14 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan dua minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke separuh akhir esok ialah pemenang di antara beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju, dan pilihan kelapan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Isfahani.