Masih berbaki 12 hari sebelum temasya Para ASEAN 2025 bermula, fokus kem olahraga negara lebih tertumpu kepada persediaan akhir melibatkan sesi latihan berintensiti rendah serta simulasi percubaan.
Selain mengelakkan kecederaan saat akhir, kondisi semua atlet dipantau lebih rapi khususnya daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN) agar jumlah sasaran pingat berjaya dicapai.
Advertisement
Bagi kem pecut, penilaian yang telah dilaksanakan menyaksikan tiga emas, lima perak serta dua gangsa menjadi sasaran yang diletakkan.
"Sekarang semua atlet dalam prestasi terbaik, semangat sudah nampak. Kami sudah lakukan ujian dan prestasi mereka semakin meningkat.
"Selama satu bulan ini kami berikan atlet lebihan waktu rehat. Kerana dalam sesi ujian mereka perlu berusaha lebih," kata jurulatih olahraga pecut para negara, Faizal Aideal Suhaimi.
Selain penekanan itu, kem lompat jauh pula turut menitikberatkan gaya latihan kekemasan teknik larian serta lompatan.
Dengan empat emas yang disasarkan, semua atlet ditagih untuk cuba mengurangkan kesilapan mudah yang berpotensi menjejaskan motivasi mereka ketika beraksi.
"Sesi Latihan lebih banyak kepada spesifik untul lompat jauh dan pemulihan, saya akan buat lompatan jauh agar tidak berlaku kesilapan pada teknik atlet." tambah jurulatih lompat jauh para negara, Eryanto Bahtiar.