Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam, tidak menolak kemungkinan besar Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan depan bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya berkenaan gara-gara kecederaan koyak meniskus.
Tanpa berselindung, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 itu mengakui kecederaan yang dialami di bahagian bahu dan kaki kirinya itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan menuju ke Jepun.
Sedar tugas berat menantinya, gimnas berusia 25 tahun itu masih enggan mengangkat bendera putih, sebaliknya memberikan jaminan akan menampilkan aksi terbaik demi menuai pingat buat kontinjen negara.
"Selepas Sukan Komanwel, saya memang bermula dari awal semula kerana saya baru dapat tahu yang saya alami koyak meniskus, jadi agak kecewa bila mengetahui kecederaan saya kembali lagi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Sekarang saya sudah mulakan pemulihan dan berharap sempat sembuh sebelum ke Sukan Asia.
"Doktor hanya sarankan suntikan dahulu dan seandainya selepas Sukan Asia masih tidak sembuh, mungkin saya kena jalani pembedahan kali kelima.
"Saya kecewa apabila mendengarnya tetapi nak buat macam mana, itulah gimnastik.
"Mungkin ini adalah Sukan Asia terakhir saya kerana kita tahu empat tahun akan datang, akan ada atlet remaja yang akan naik, jadi saya akan memberikan segalanya dalam edisi kali ini."