Impian atlet tuan rumah untuk meraih pingat emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan SUKMA Selangor 2026 musnah selepas terbabit insiden di halangan terakhir.
Atlet Selangor, Siti Nur Fatehah, dilihat berlaga dengan halangan ketika perlumbaan berbaki beberapa meter sahaja untuk menuju ke garisan penamat.
Fatehah cuba untuk meneruskan larian, namun terpaksa melupakan peluang untuk menamatkan perlumbaan.
Pelari Sabah, Nur Denisha Shazliatie Abdullah meraih pingat emas sementara rakan sepasukan, Ledia Engku meraih pingat perak dan wakil Wilayah Persekutuan, Syarafana Azli melengkapkan podium.
Acara 3000m larian berhalangan sememangnya memerlukan kekuatan fizikal, ketahanan serta ketepatan ketika melepasi setiap halangan.
Namun, satu kesilapan di halangan terakhir akhirnya menjadi titik hitam buat atlet berkenaan apabila impian untuk bergelar juara di pentas SUKMA Selangor 2026 terpaksa berakhir hanya beberapa langkah sebelum garisan penamat.