Sensasi tenis Filipina, Alexandra Eala, terus mencipta sejarah apabila melonjak ke ranking tertinggi dalam kariernya sebagai pemain ke-18 dunia.
Eala naik dua anak tangga daripada ranking terbaik sebelumnya, 20, selepas mara ke pusingan 32 kejohanan WTA 1000 Cincinnati Open.
Dalam aksi pusingan kedua, Eala menewaskan Elena-Gabriela Ruse dari Romania selepas lawannya terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 1-6, 0-3.
Kemenangan itu menyaksikan Eala sekali lagi berdepan pemain kelompok 10 terbaik dunia apabila bakal bertemu pemain Amerika Syarikat, Amanda Anisimova.
Menariknya, Eala mempunyai rekod cemerlang menentang pemain kelompok 10 terbaik dengan sembilan kemenangan daripada 13 pertemuan, termasuk lima kemenangan berturut-turut.
Pemain berusia 21 tahun itu juga semakin hampir untuk merealisasikan sasaran lebih besar apabila hanya mempunyai 125 mata ranking untuk dipertahankan sehingga penghujung musim.
Situasi itu bermakna setiap kemenangan yang diraih selepas ini berpotensi membantu Eala terus memperbaiki kedudukannya.
Walaupun servis Eala sebelum ini sering dianggap sebagai antara aspek yang membataskan kemajuannya, pemain kidal itu kini mula menjadikannya senjata untuk mengganggu pemain berstatus lebih tinggi.
Variasi servis tajam dengan gerakan bola yang sukar dibaca menyebabkan lawan bergelut mencari rentak dalam permainan.
Kualiti dimiliki Eala itu turut menyukarkan pemain seperti Iga Swiatek dan Jessica Pegula, yang masing-masing pernah ditewaskan Eala.
Selain servis, gerakan di garisan belakang serta ketahanan mental Eala juga terus menjadi aset penting di pentas WTA.
Dengan momentum yang semakin kukuh, Eala kini mempunyai peluang untuk mencabar kelompok 10 terbaik dunia sebelum musim berakhir.
Malah, beberapa keputusan besar selepas ini berpotensi membawanya lebih hampir kepada saingan WTA Finals.
Namun buat masa ini, tumpuan Eala terarah kepada Anisimova dalam usaha meneruskan perjalanan di Cincinnati dan mencipta satu lagi kejutan terhadap pemain bertaraf elit dunia.