Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, membuktikan kayuhannya masih berbisa apabila muncul juara acara pecut individu elit dalam siri Kejohanan Berbasikal Trek Piala Presiden, hari ini.
Perlumbaan menarik di Velodrom Nasional, Nilai itu menyaksikan The Pocket Rocketman bangkit daripada kekalahan pusingan akhir pertama untuk menewaskan pelumba Korea Selatan, Kim Geunwoo ketika final kedua serta aksi penentuan sekali gus memastikan emas dalam genggamannya.
Advertisement
Kemenangan antarabangsa kedua selepas Azizul bangkit semula daripada tempoh rehat panjang, ternyata lebih manis kerana kejayaan itu diraih di hadapan penyokong tanah air.
"Seperti yang saya jangka laluan ini tidak mudah kerana banyak pelumba muda, separuh akhir saya berlumba dengan Firdaus walaupun jangka jumpa di final, namun ia perlumbaan yang bagus.
"Saya bangkit dalam perlumbaan kedua dan menang, saya mahu menang di laman sendiri. Lawan tahu taktik saya tetapi secara keseluruhan ia satu perlumbaan yang baik." katanya.
Dalam pada itu, emas kategori wanita pula disandang Nurul Izzah Izzati selepas menewaskan rakan senegara, Nur Alyssa Mohd Farid dalam dua pusingan akhir.
Momentum terbaik yang dianggap sebagai pemacu kecemerlangan menuju ke Kejohanan Berbasikal Trek Konfederasi Lumba Basikal Asia 2026 di Filipina pada Mac nanti.
"Perlumbaan pertama Alhamdulillah saya dapat lakukan yang terbaik, saya beryukur dengan pingat ini dan berharap dapat meneruskan momentum dalam perlumbaan nanti." tambahnya.