Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) terus menjadi platform penting melahirkan bakat muda yang menyerlah.
Beberapa juara edisi lalu kembali membuktikan kualiti apabila masih mampu bersaing pada tahun ini.
Advertisement
Meskipun telah meningkat ke kategori lebih tinggi, prestasi mereka kekal cemerlang.
Pelari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nasyibah Suhaimi, meraih tempat ketiga dalam kategori B-18 perempuan, manakala wakil Kedah, M. Devindra, terus unggul sebagai juara lelaki kategori serupa.
Namun, perlumbaan tetap sengit setiap kategori bagi acara individu dan berpasukan menyaksikan juara daripada negeri berbeza, mencerminkan saingan yang kompetitif tetapi masih terbuka.
Jelas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, penganjuran sulung bagi sukan berskala besar di Labuan disifatkan satu kejayaan besar.
Dengan penyertaan 480 atlet daripada 16 kontinjen, kejohanan ini malah menjadi platform penting dalam mengenal pasti serta membentuk bakat muda ke peringkat lebih tinggi.
"Kami berharap dapat merakyatkan kecemerlangan dalam sukan dan membangunkan potensi anak-anak kita.
"Saya ingin anak-anak di Labuan juga merasakan keghairahan dalam kejohanan di peringkat kebangsaan," katanya pula.
Sokongan ibu bapa turut menjadi tunjang kelancaran kejohanan.
Ramai yang sanggup menempuh perjalanan jauh termasuk terbang dari Semenanjung demi memberi semangat kepada anak-anak mereka.
Selaku penaja rasmi, kejohanan ini turut disokong Milo yang terus komited memperkasa pembangunan sukan peringkat akar umbi di Malaysia.
"Rekod kejohanan juga semakin meningkat dan ia satu perkembangan yang amat bagus yang dijalankan KPM," kata Ketua Bahagian Pembangunan Sukan Milo, Lim Kerwin.
Pelbagai emosi terpancar -- ada gembira dan ada yang kecewa yang menjadi sebahagian warna-warni kejohanan ini.
Selepas ini, tumpuan beralih ke siri kejohanan MSSM seterusnya termasuk acara badminton, memanah dan sofbol pada Jun dengan negeri lain pula akan bertindak sebagai tuan rumah.