"Secara realistik, suku akhir dalam tangan," kata bekas Ahli Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Norbakti Alias, mengenai peluang skuad negara dalam Piala Thomas dan Uber 2026.
Norbakti menyifatkan saingan Kumpulan B, Piala Thomas sebagai perjalanan mudah jika hendak dibandingkan dengan kumpulan lain, di mana skuad lelaki negara akan menghadapi cabaran Jepun, England dan Finland.
Advertisement
Bagaimanapun, masalah utama skuad negara ketika ini adalah barisan pemain yang mempunyai kekuatan tidak seimbang.
Situasi sama buat skuad Piala Uber, di mana kem negara hanya mempunyai kekuatan menerusi satu beregu sahaja, iaitu Pearly Tan-M. Thinaah, dan ia merupakan satu perkara yang perlu dirisaukan.
"Masalah yang saya lihat ialah ketaksuban BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk mendapatkan pingat dalam Sukan Olimpik," tambahnya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Jadi, mereka tidak membuat persiapan secara berpasukan supaya kekuatan pasukan negara lebih sekata.
"Sekarang kita boleh lihat, Wong Ling Ching (perseorangan wanita negara) prestasinya sedang meningkat, jadi tumpuan hanya terarah kepadanya, sama juga dengan Pearly-Thinaah.
"BAN akan memberikan tumpuan kepada mereka untuk Sukan Olimpik. Mereka tidak fikir untuk kuatkan satu pasukan dan saya fikir ia satu kesilapan besar.
"Mereka terlalu taksub untuk mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik sehingga leka."