Perlawanan pertama pusingan 16, Piala Malaysia di Manjung mencurin tumpuan selepas Perak daripada Liga A1 Semi-Pro yang rata-ratanya dibarisi skuad Sukan Malaysia (Sukma) menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-0 di Cheras semalam.
Walaupun kemenangan belum menjamin kemaraan ke suku akhir, Perak tetap layak menerima pujian di atas kekentalan semangat mereka hingga berjaya mengatasi lawan yang jauh lebih berpengalaman.
Advertisement
Jaringan Perak hadir menerusi Daniel Hakimi seawal minit ke-11 dan Fadhil Azmi dalam babak kedua permainan untuk menghukum anak buah Risto Vidakovic di laman sendiri.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemain kerana mereka melakukan kesemua yang kami rancang.
"Kami sedar tiada cara lain melainkan hanya dengan berjuang. Kita tahu KL memang pasukan sempurna dari bawah sampai ke atas.
"Tetapi saya tahu semua pemain telah memberikan 100 peratus dan mengerahkan tenaga dan kami di luar ini juga amat terharu dengan perjuangan mereka.
"Kami mencuba untuk usahakan sesuatu agar dapat membuktikan kepada peminat bola sepak Perak bahawa kita masih ada sinar."
"Memang dari awal pasukan kami dibentuk daripada pasukan Sukma dan kebetulan skuad B-23 kami juga tiada pasukan, jadi pasukan ini adalah gabungan pasukan B-20 dan 23 Perak.
"Memang sejak ditubuhkan semula, hala tujunya adalah untuk membangunkan semula pasukan ini dan sejauh mana pun kami pergi, kami akan mencuba mengekalkan pemain sedia ada."
"Jika begini disiplin yang dipamerkan, InsyaAllah tidak lama lagi kami akan kembali ke tempat yang sepatutnya." jelas jurulatih Perak, Syamsol Saad.