Skuad Harimau Selatan membawa masuk tiga tenaga import dalam jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M).
Justeru, kehadiran Yago Cesar, Marcos Guilherme dan Rui Filipe mampu melengkapkan baki misi mereka musim ini dengan lebih gemilang.
Advertisement
Untuk rekod, hanya Felipe atau lebih dikenali sebagai Nene belum sempat diturunkan, sekali gus berpeluang untuk membarisi kesebelasan utama di posisi tengah ketika bertandang ke kubu PDRM, petang esok untuk mulakan kempen mempertahankan gelaran.
"Kami cuba berikan peluang kepada setiap pemain. Kami perlu teruskan perkara penting iaitu tidak dibolosi dan sikap yang positif.
"Kami ada 4-5 pemain baru dan mereka ini berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan kami.
"Apa yang penting adalah sajikan persembahan yang baik di depan penyokong sendiri," kata ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, dalam sidang media.
Dua muka baru tempatan, Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba, juga berpotensi dipertaruhkan selain Feroz Baharudin yang sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan lutut.
Mengulas mengenai penghijrahan Wilkin ke JDT, bekas pengendali Watford itu mendedahkan kelibat pemain warisan negara tersebut sudah lama berada di bawah radar mereka.
"Kami sangat gembira atas apa yang diberikan kelab, bukan sahaja Wilkin tapi ia dianggap satu penambahan (tonik terbaik) dalam menjadi pasukan yang lebih baik.
"Kami sudah lama mengikuti perkembangannya, dia mampu jelmakan persembahan yang baik.
"Bukan sahaja Wilkin, malah beberapa muka baru lagi yang boleh menjadi satu tambahan (positif) kepada pasukan," katanya lagi.