Tonggak tengah Kuala Lumpur (KL) City, Zhafri Yahya, pula menyuarakan perspektif tersendiri terhadap kemampuan pasukan Perak, lebih-lebih di laman sendiri.
The City Boys menjalani sesi latihan terakhir hari ini sebelum bertolak ke Manjung pada sebelah petangnya menjelang sepak mula perlawanan pertamam pusingan 16, Piala Malaysia, esok.
Advertisement
Meskipun lawan itu adalah wakil daripada Liga A1 Semi-Pro 2025/2026, Perak tetap mempunyai kualiti tersendiri untuk mengejutkan KL City.
Lantas, Zhafri merujuk kepada profil pemain yang dimiliki perak dengan rata-ratanya merupakan pemain muda.
Terdapat beberapa aspek menarik apabila menentang pasukan yang dibarisi pemain muda dan paling ketara, keinginan serta semangat luar biasa memandangkan mereka beraksi demi lanjutan kontrak dan menjadi penentu kepada destinasi pada masa hadapan.
Atas dasar itu, Zhafri menggesa The City Boys agar berada di tahap terbaik dalam dua pertemuan menentang barisan kendalian Shamsul Saad itu.
"Kami perlu tahu kelebihan dan kekurangan setiap pasukan lawan selain pamer taktikal yang diterapkan jurulatih.
"Kami perlu berwaspada dan cepat kenal pasti corak permainan Perak.
"Perak pasti akan bertambah bersemangat untuk berdepan pasukan Liga Super," katanya.
Untuk rekod, KL City hanya meraih satu kemenangan dalam enam aksi terakhir.