Peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' nyata menggambarkan semangat luar biasa apit kiri Negeri Sembilan, Zuleffendi Sumari yang kembali beraksi cemerlang selepas melalui detik mencemaskan akibat kemalangan jalan raya.
Pemain yang mesra disapa Pak Long itu sebelum ini terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan bas persiaran yang dinaikinya di sekitar Tapah pada 5 April lalu, sehingga menyebabkan beliau menerima enam jahitan di bahagian kepala.
Advertisement
Namun, kecederaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang di pentas Piala Emas Khir Johari apabila tampil membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan penting ke atas Melaka hari ini.
Kehadiran Zuleffendi jelas memberi impak besar apabila beliau mengetuai regu pertama bersama Muhammad Hafizul Hayazi Adnan dan Muhammad Haziq Hairul Nizam dalam aksi sengit yang berlanjutan hingga tiga set.
Prestasi konsisten regu utama itu menjadi pencetus kebangkitan Negeri Sembilan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam perlawanan tersebut.
“Saya hanya mahu beri yang terbaik walaupun baru pulih. Kemenangan ini hasil usaha berpasukan,” kata Zuleffendi.
Sementara itu, beliau turut memuji peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh regu kedua Negeri Sembilan, yang disifatkan sebagai petanda positif menjelang temasya Sukan Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung Ogos depan.
“Regu kedua semakin menunjukkan keserasian dan keyakinan. Ini perkembangan yang sangat baik untuk pasukan,” tambahnya.
Semangat juang tinggi yang dipamerkan Zuleffendi bukan sahaja menjadi inspirasi buat rakan sepasukan, malah membuktikan bahawa kecekalan mental adalah kunci utama untuk bangkit dalam dunia sukan kompetitif.