Skip to main content

Angkat Berat

Latihan berpusat di Rompin mampu jadi penyelamat skuad angkat berat negara

Latihan berpusat di Rompin mampu jadi penyelamat skuad angkat berat negara

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aznil Bidin, percaya pendekatan latihan berpusat di Pekan Rompin mampu menjadi penyelamat kepada skuad angkat berat negara dalam usaha membendung isu disiplin yang sedang melanda kem kebangsaan ketika ini.

Menurut Aznil, suasana latihan di Rompin yang lebih tertutup dan berfokus banyak membantu membentuk disiplin serta mentaliti atlet untuk kekal fokus terhadap latihan dan prestasi.

Lokasi itu malah sering digelar sebagai “kem latihan Korea Utara” dalam kalangan atlet kerana pendekatan latihan yang ketat dan jauh daripada gangguan luar.

Namun, Aznil menegaskan pendekatan tersebut terbukti berkesan selepas melahirkan beberapa atlet elit negara termasuk Mohamad Aniq Kasdan, Ery Hidayat dan dirinya sendiri.

“Bila berada di Rompin, atlet lebih fokus kepada latihan dan disiplin. Suasana di sana memang berbeza dan saya rasa ia antara faktor penting yang membantu ramai atlet mencapai prestasi terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu disiplin yang dikatakan sedang membelenggu skuad kebangsaan ketika ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan angkat berat negara.

Dalam pada itu, Aznil tetap optimis terhadap kemampuan skuad negara menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas sembilan atlet kebangsaan sudah mengesahkan slot ke temasya berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui banyak aspek perlu dipertingkatkan jika Malaysia mahu kembali mencabar pingat emas berdasarkan rekod angkatan semasa atlet negara yang masih belum mencapai tahap terbaik.

“Kita memang sudah layak, tetapi dari segi prestasi dan jumlah angkatan masih ada ruang besar untuk diperbaiki jika mahu bersaing dengan kuasa besar angkat berat di Komanwel,” katanya lagi.

Aznil berharap semua atlet kebangsaan dapat memanfaatkan tempoh persiapan yang masih ada untuk meningkatkan prestasi selain memperkukuhkan disiplin demi memastikan kem negara tampil lebih kompetitif di Glasgow nanti.

Must Watch Video