Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Perincian maksud kenyataan Ultras Malaya

UM07

Kumpulan penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, tidak berhasrat untuk mengambil alih kepimpinan bola sepak Malaysia, sebaliknya menuntut ketelusan, tanggungjawab daripada setiap individu berwajib.

Malah, ia bukan bentuk rampasan kuasa, tetapi mendesak supaya ada akauntabiliti meliputi setiap perkara.

Advertisement

Ia, lebih daripada amanah, jujur dan berintegriti demi menjaga maruah bola sepak kebangsaan. Ultras Malaya dalam masa sama menolak sebarang agenda yang hanya berkepentingan untuk diri sendiri.

"Siapa pun kalian, ahli politik, menteri, penjawat awam, kerabat, tauke, pemain, pegawai, atau penyokong, kalian tetap berada dalam ruang yang sama, ruang bola sepak rakyat.

"Bezanya cuma tahap kuasa yang kalian pegang.

"Uruslah bola sepak ini dengan jujur, telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

"Jangan jadikan bola sepak sebagai alat kepentingan peribadi. Jangan jadikan institusi bola sepak sebagai ruang untuk melindungi kesilapan, menjaga pengaruh, atau memuaskan nafsu kuasa," katanya di Facebook.

Komuniti tersebut turut menjelaskan tentang akar permasalahan bola sepak negara yang berulang kali terjadi tanpa ada solusi bernas seperti isu kewangan pasukan, jadual perlawanan, lesen kelab, isu pengurusan dan keputusan besar yang dipertikai.

"Ia sudah lama wujud, dan sehingga hari ini, ada yang masih belum selesai.

"Tadbir urus masih lemah. Kewangan kelab masih rapuh. Liga masih tidak stabil.

"Akar umbi masih longgar. Standard profesional masih rendah.

"Setiap kali isu timbul, kita diberi kenyataan. Setiap kali krisis berlaku, kita diminta bertenang.

"Setiap kali penyokong bertanya, kita dilabel bising. Tetapi masalah yang sama terus berulang," katanya lagi.

Dalam masa sama, Ultras Malaya tetap berpegang dengan prinsip meminta supaya tiga perkara yang dinyatakan terdahulu segera diambil tindakan sebelum Boikot Fasa 2 dilancarkan.

1. Tarik semula kerakyatan tujuh pemain

Ketika ini, kesemua tujuh pemain terbabit dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akibat skandal pemalsuan dokumen.

2. Kembalikan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

3. Reformasi bola sepak Malaysia.

"Kalau mahu bola sepak Malaysia bergerak ke depan, pembetulan mesti bermula dengan keberanian untuk mengakui masalah.

"Tidak boleh lagi disorok bawah karpet. Tidak boleh lagi rakyat bola sepak hanya diminta percaya tanpa penjelasan," tambahnya.
 

Must Watch Video