Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, beranggapan mandat penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Lee Chong Wei untuk menentukan struktur kejurulatihan sebagai berisiko.
James berpandangan perkara itu perlu memiliki beberapa individu untuk duduk bersama bekas perseorangan nombor satu dunia itu agar wujudnya semak dan imbang untuk keputusan yang dibuat.
Advertisement
"Untuk beberapa perkara memberikan kuasa penuh kepada Chong Wei sangat bagus, tetapi dia perlu melaksanakannya.
"Jika dia tidak melaksanakan dengan bagus, orang mesti marah dengan Chong Wei, dia tidak tahu mana mahu lari nanti. Kerana dia diberikan mandat 100 peratus.
"Saya berasakan perlu ada beberapa individu lagi yang boleh memberikan sumbangan dalam badminton untuk berada dalam komiti. Kemudian baru berbincang bersama jurulatih dan pemain baru akan tahun apa yang perlu dilakukan lagi," katanya.
Begitupun, James juga memuji keputusan badan induk badminton negara itu yang meletakkan barisan muda ke Kejohanan Badminton Asia berpasukan 2026.
Ia merupakan satu langkah proaktif dalam memberikan pendedahan dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior sahaja.
"Ia bagus untuk memberikan pendedahan, jika tidak beri mereka pendedahan maka tidak akan mendapat keputusan terbaik.
"Perkara itu satu keputusan yang baik untuk hantar skuad junior berbanding senior, jika hantar pemain senior tanggapan semestinya adalah untuk menang.
"Pemain junior pula tanggapan tidak akan terlalu tinggi, jadi ia keputusan yang bagus daripada BAM dan saya berharap pemain muda akan berikan aksi terbaik mereka." tambahnya.