Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Datuk Ong Kim Swee, mengakui rombakan yang akan berlaku dalam struktur kejurulatihan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Bagaimanapun, bekas pengendali Harimau Malaya itu enggan mengulas mengenai desas-desus 12 jurulath program itu tidak disambung kontrak dan 24 lagi masih menunggu keputusan berikutan saranan pemotongan gaji 20 peratus.
Advertisement
Selain itu, penglibatan nama-nama besar seperti Hasan Sazali Waras, Shukor Adan, P. Maniam dan Rosdi Suparman sebagai sebahagian daripada struktur baru program berkenaan juga masih belum ada pengesahan.
Kim Swee menambah, tiada istilah gagal bagi setiap jurulatih terlibat tetapi meletakkan indeks prestasi utama (KPI) berdasarkan aspek tertentu.
Dia juga berharap setiap jurulatih yang dilepaskan akan bersikap profesional untuk menerima keputusan berkenaan dan bangkit menunjukkan prestasi sebenar.
"Sudah tentu akan ada perubahan dan jika benar mengenai jurulatih-jurulatih tersebut, kita perlu tunggu pengumuman rasmi daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Rombakan akan dilakukan terhadap setiap ketua jurulatih. Itulah yang akan saya lakukan.
"Sesiapa yang dilantik sekali pun, mereka harus memiliki KPI yang akan ditetapkan dan cuba mendapatkan satu keputusan yang baik.
"Bagi saya, tiada istilah gagal kerana mereka merupakan jurulatih baru.
"Sudah pasti mereka perlu memikirkan jalan terbaik kerana ini merupakan pekerjaan jurulatih profesional. Jurulatih tidak boleh memikirkan mereka berada di satu tahap yang selesa.
"Kalau sesiapa yang berada sebagai jurulatih untuk mendapatkan kedudukan yang selesa, bermakna mereka tidak memiliki inisiatif sendiri untuk membangunkan diri sebagai jurulatih.
"Jadi, sebagai profesional, anda perlu terima (keputusan pengguguran), anda perlu bangkit dan memulakan sesuatu dengan lebih baik," katanya.
