'Tahun ini sudah masuk tahun kelima saya tidak beraya dengan keluarga', Demikian luahan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, yang sekali lagi terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh dari tanah air demi komitmen dalam arena perlumbaan.
Pelumba berusia 18 tahun itu menyambut Aidilfitri di perantauan susulan jadual perlumbaan yang padat dalam kalendar Kejohanan Dunia Moto3.
Advertisement
Apa yang lebih mencabar, Syawal pertama tahun ini dijangka tiba hanya sehari sebelum pusingan kedua musim ini di Brazil yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Mac.
Namun bagi Hakim, pengorbanan tersebut adalah sebahagian daripada realiti yang perlu ditempuh dalam mengejar impian sebagai pelumba profesional.
“Bagi saya tiada apa-apa isu pun. Saya baik sahaja sebab saya yang memilih jalan ini untuk pergi berlumba,” katanya.
Sementara itu, Hakim mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki selepas perlumbaan pembukaan musim di Thailand.
Fokus utama ketika ini adalah untuk memperkemas teknik tunggangan dan pelarasan jentera terutama pada bahagian casis bagi meningkatkan kestabilan ketika perlumbaan.
“Saya perlu fokus pada pelarasan motosikal, khususnya pengendalian casis ketika membrek dan memasuki selekoh,” kata Hakim ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
Selain itu, Hakim turut memaklumkan bahawa dia sudah melakukan persediaan awal dengan mengkaji karakter litar yang bakal digunakan dalam perlumbaan di Brazil.
Perlumbaan tersebut bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Ayrton Senna, Brazil, yang bakal menjadi pengalaman pertama buatnya bersama pelumba lain beraksi di litar itu dalam saingan Moto3.
