AHLI Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, adalah Menteri Belia dan Sukan ke-23 sejak 1964 dan yang kedua berusia di bawah 30 tahun untuk memegang portfolio itu sejak Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2018.
Beliau berpeluang mencipta legasi tersendiri dalam dunia sukan yang penuh sepak terajangnya, serta diwarnai watak-watak dari pelbagai latar belakang – sama ada kerabat diraja, tokoh politik, bekas ahli politik dan bekas atlet.
Advertisement
Namun dengan Kerajaan Madani tamat tempoh penggal pada lewat 2027, Dr. Mohammed Taufiq berdepan cabaran menerajui KBS di saat Kontinjen Malaysia mengharungi Sukan Asia di Aiichi-Nagoya dan Sukan Komanwel di Glasgow serta yang lebih penting, menjayakan Sukan SEA ke-34 pada September 2027 nanti.
Andai Dr. Mohammed Taufiq mengikut jejak langkah Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq yang menampilkan imej cergas dan cerdas, beliau harus tampil aktif dalam pelbagai aktiviti sukan selain rajin mengemas kini status di media sosial.
Sepanjang khidmatnya selama tiga tahun, Hannah Yeoh yang bertukar portfolio ke Kementerian Wilayah Persekutuan, mengambil pendekatan mesra dengan semua pemegang taruh dan menghormati pandangan semua pihak.
Andai Dr. Mohammed Taufiq memilih pendekatan objektif dan profesional tanpa perlu intim dengan pemegang taruh, beliau akan mengambil risiko dilabel tidak popular.
Sebaliknya jika beliau memilih pendekatan populis, barangkali banyak isu-isu lain sukar ditangani disebabkan senario sukan terkini dan pengaruh media sosial yang di luar kawalan.
Di saat ini, arena sukan negara gempar dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya dan kemungkinan tindakan lebih berat dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Apapun, atas segala jasanya, kita ucapkan selamat berjaya kepada YB Hannah. Selamat datang ke dunia sukan, Dr. Mohammed Taufiq.
SENARAI MENTERI BELIA DAN SUKAN
Tunku Abdul Rahman Putra (1964-1966) Kedah
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan diterajui sendiri oleh Perdana Menteri, atas kapasitinya sebagai pemimpin berjiwa sukan, bagi memberi status tinggi kepada portfolio itu pada awal penubuhannya.
Tan Sri Senu Abdul Rahman (1966-1971) Kedah
Gelaran berprestij tahunan Anugerah Sukan Negara yang diberikan kepada olahragawan dan olahragawati terunggul menjadi manifestasi kerjasama tiga hala membabitkan kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta dan diumumkan secara rasmi di Parlimen pada 26 Januari 1967 ketika Senu menerajui Kementerian ini selain Kementerian Penerangan.
Tan Sri Hamzah Abu Samah (1971–73) Pahang
Hamzah membentang Draf Akta Majlis Sukan Negara (MSN) 1971, sumbangan terbesarnya pada ketika sukan kurang diberi keutamaan dalam senarai kementerian. Hanya kemudian bekas majistret ini mencipta nama sebagai pemimpin sukan dengan memegang beberapa jawatan berprofil tinggi – antaranya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta Naib Presiden FIFA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Datuk Ali Ahmad (1973–76) Johor
Ahli Parlimen Pontian ini membuat beberapa pindaan kepada Akta MSN bagi memudahkan persiapan atlet ke pertandingan berprestasi tinggi antarabangsa. Beliau kemudian meninggal dunia dalam nahas kapal terbang di Tanjung Kupang, Johor pada Disember 1977. Menteri Pertanian itu berada dalam penerbangan dari Pulau Pinang dan terbunuh bersama 99 yang lain apabila pesawat MAS 737 meletup di udara sebelum terhempas ke dalam paya.
Tan Sri Abdul Samad Idris (1976–80) Negeri Sembilan
Walaupun cenderung kepada seni dan budaya, Abdul Samad adalah tokoh pertama yang mengutarakan idea separa profesionalisme dalam sukan, khususnya bola sepak, hoki dan badminton.
Datuk Mokhtar Hashim (1980–82) Negeri Sembilan
Mokhtar menjadi anggota Kabinet termuda pada 1980 dan beliau segera menubuhkan pasukan petugas yang dipengerusikan oleh Datuk Elyas Omar untuk menghidupkan semula MSN sebagai cabang penting kementerian dengan matlamat tunggal meningkatkan latihan dan pembangunan berprestasi tinggi untuk atlet.
Datuk Abdullah Ahmad Badawi (1982–83) Pulau Pinang
Abdullah menjadi Menteri sementara apabila Mokhtar didakwa di mahkamah dengan menggalakkan penglibatan lebih besar sektor swasta dalam sukan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (1983–84) Pulau Pinang
Sepanjang tempoh singkatnya, Anwar meneruskan rancangan menjadikan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (dicadangkan sejak 1970-an) sebagai realiti.
Datuk Seri Dr Sulaiman Daud (1984–86) Sarawak
Seorang doktor gigi, Sulaiman memulakan Sukan Malaysia (Sukma) pada 1986.
Datuk Seri Najib Tun Razak (1986–89) Pahang
Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan termuda pada 1986 pada usia 33 tahun dan akhirnya dianggap antara yang terbaik. Memainkan peranan penting dalam penganjuran Sukan SEA 1989 yang berjaya dari sudut komersial, serta mencadangkan peruntukan kawasan untuk sekolah sukan di Bukit Jalil dan menjadi pencetus kepada pengenalan Dasar Sukan Negara pada 1988.
Datuk Annuar Musa (1990–93) Kelantan
Seorang perancang bandar dan bekas pelari 400m di universiti, Annuar paling diingati kerana peranannya dalam kejayaan bidaan Sukan Komanwel 1998 dan menyaksikan Malaysia merampas kembali Piala Thomas pada 1992 selepas kemarau 25 tahun.
Datuk Abdul Ghani Othman (1993–95) Johor
Seorang tokoh akademik yang memperkenalkan program Rakan Sukan, merevolusikan konsep pembiayaan sukan yang sebelum itu bergantung kepada bantuan kerajaan selain mencadangkan Akta Pembangunan Sukan untuk mengawal persatuan sukan dan membendung salah laku, pertelingkahan, perebutan kuasa dan salah urus.
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (1995–99) Johor
Di bawah Muhyiddin, sukan negara dicemari skandal rasuah bola sepak pada 1994 tetapi bangkit ke tahap tertinggi dengan kejayaan besar Sukan Komanwel ke-16 pada September 1998. Bekas pegawai daerah Muar ini mengawasi program Jaya ’98 yang agresif, penganjuran Grand Prix Formula 1 edisi sulung, serta usaha awal melobi untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 dan Sukan Olimpik 2008.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (1999–) Johor
Iltizam politik Hishammuddin tergambar apabila Pesuruhjaya Sukan menggantung Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), kini bergelar Olahraga Malaysia (OM) atas sebab kegagalan membangunkan sukan itu selain menggalakkan pertumbuhan sukan esktrem, sukan air dan futsal sebagai agenda nasional.
Datuk Seri Azalina Othman Said (2004-2008) Johor
Selain mengenal pasti tujuh sukan teras sebagai agenda nasional, Azalina mengusahakan kewujudan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang seterusnya meluluskan bayaran pencen untuk pemenang pingat Sukan Olimpik, serta menyaksikan PJS membatalkan pendaftaran Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) yang mengheret Kerajaan ke mahkamah.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2008-2009) Pahang
Dalam waktu yang singkat, Ismail mendepani pelbagai isu yang diwarisi, sambil memperbetulkan beberapa kesilapan dan kelompongan yang ada di peringkat pengurusan sukan negara.
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (2009-2013)
Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara menjadi pencetus kepada wujudnya Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) ketika Ahmad Shabery menjadi Menteri. Beliau menekankan pentingnya industri sukan untuk menjana pendapatan
Khairy Jamaluddin (2013-2018)
Khairy memberi nafas baharu kepada KBS dengan menampilkan imej belia yang cergas sertakan menggalakkan gaya hidup sihat menerusi penganjuran Hari Sukan Negara (HSN), selain memperkasa Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dan memantau kejayaan Kontinjen Malaysia meraih empat pingat perak dan satu gangsa di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, pencapaian terbaik negara sejauh ini.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (2018-2020)
Ahli Parlimen Muar ini memperjuangkan peruntukan lebih besar untuk masyarakat dan industri sukan negara menerusi cukai gula selain mengutamakan pengurusan kebajikan atlet.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (2020-2021)
Beliau memainkan peranan mengatur pelan mencari mekanisme terbaik menghidupkan semula aktiviti dan industri sukan apabila negara berdepan pandemik wabak corona, dengan menerajui operasi di dalam gelembung sukan.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (2021-2022)
Di bawah Ahmad Faizal, KBS merangka Visi Sukan Negara 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober 2022, dengan enam teras utama - Pembudayaan Sukan, Kegemilangan Sukan, Industri Sukan, Pembangunan Bakat, Profesionalisme Sukan dan Hab Sukan. Malangnya ia tinggal dasar atas kertas apabila Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian.
Hannah Yeoh (2022-2025)
Walaupun mengubah sasaran kontinjen ke temasya pelbagai sukan antarabangsa bermula Sukan Asia Hangzhou 2022 pada 2023 disusuli Sukan SEA Thailand 2025, Hannah mesra atlet dan mudah dibawa berbincang. Beliau memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) dan PERKESO untuk atlet podium, pengukuhan program pembangunan akar umbi, penyediaan fasiliti sukan percuma kepada komuniti, pelaksanaan Kod Sukan Selamat, insentif pelepasan cukai, pelaksanaan geran padanan serta pertambahan senarai sukan yang diwartakan bertambah dua kali ganda.