Sebuah karnival sukan terbesar sepatutnya dinikmati dengan penuh keterujaan, kegilaan, dan rasa cinta yang mendalam terhadap sukan itu sendiri.
Bayangkan jika kesemua itu direnggut oleh rasa tidak selamat, tidak nyaman dan sentiasa harus berjaga-jaga.
Advertisement
Penganjuran Piala Dunia 2026 di tiga negara Amerika Utara, iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), kini menjadi buah mulut di laman-laman sosial, mahupun di kedai kopi berikutan ancaman keselamatan di dua daripada tiga negara penganjur itu, bahkan terdapat seruan untuk kejohanan empat tahun sekali itu diboikot.
Sebelum mengulas lebih lanjut, adalah lebih baik untuk kita melihat terlebih dahulu apa yang memicu kekacauan yang sedang berlaku ketika ini.
Di Mexico, tidak sampai empat bulan sebelum Piala Dunia menyingkap tirai, salah satu bandar utama penganjuran kejohanan itu, Guadalajara, digegarkan dengan keganasan kartel narkotik, Jalisco New Generation Cartel (CJNG), selepas pimpinan utama mereka, Nemesio 'El Mencho' Osguera, dibunuh oleh tentera negara itu.
Kematiannya mencetuskan tindakan balas dendam ganas, termasuk tembakan rambang terhadap pasukan keselamatan, sekatan jalan raya dan pembakaran kenderaan di beberapa kawasan.
Penduduk tempatan hidup dalam ketakutan, banyak perniagaan ditutup, sekolah ditangguhkan dan ramai memilih untuk kekal di dalam rumah pada ketika bandaraya itu hampir lumpuh.
Di sebalik huru-hara yang berlaku, Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, masih yakin Mexico bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama edisi ke-23 Piala Dunia itu.
Namun, hanya berselang sehari selepas Infantino mengeluarkan kenyataan itu, dia harus sekali lagi mengurut kepala apabila Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan "operasi tempur besar-besaran" ke atas Iran.
Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang pangkalan udara AS di Wilayah Teluk, termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, dan Bahrain.
Pertembungan di antara dua negara itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum Iran dijadualkan berlepas ke AS untuk saingan Piala Dunia, di mana berdasarkan undian, mereka berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir, dan New Zealand, dengan dua perlawanan mereka dijadualkan berlangsung di Los Angeles (15 dan 21 Jun) dan satu di Seattle (26 Jun).
FIFA, menerusi setiausaha agungnya, Mattias Grafstrom, berkata badan induk itu kekal mahu kesemua pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia bertanding, termasuk Iran.
Bagaimanapun, ia tidaklah semudah seperti apa yang terpacul dari mulut Grafstrom.
Ini kerana Jabatan Negara AS awal-awal lagi memaklumkan mereka tidak menafikan kemungkinan permohonan visa sesetengah pemain Iran bakal ditolak, sekali gus menyaksikan Iran akan kehilangan hampir separuh daripada skuad inti mereka, yang mungkin akan dinafikan visa AS atas faktor memiliki latar belakang ketenteraan.
Jika anda rasa apa yang disenaraikan di atas sudah cukup merumitkan keadaan FIFA, masih ada rencah yang sedang digaul untuk membuatkan Infantino dan rakan-rakan tidak senang duduk.
Ini kerana pada 28 Februari 2022, tepatnya empat tahun sebelum serangan AS ke atas Iran, FIFA mengumumkan penggantungan buat kesemua pasukan kebangsaan dan kelab-kelab di Russia berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Russia disingkirkan dalam pusingan play-off kelayakan Piala Dunia 2022 dan tidak dibenarkan beraksi di Qatar. Mereka juga kekal digantung sehingga ke hari ini.
Justeru, kewibawaan Infantino dan FIFA kini benar-benar teruji untuk mengelakkan dwi-standard melibatkan AS dan Israel, yang sebelum ini mencabuli hak rakyat dan atlet Palestin, dan kini memulakan perang ke atas Iran.
Sudah ada bunyi-bunyi halus menggesa Piala Dunia edisi kali ini diboikot atas dasar faktor keselamatan dan ditambah dengan gesaan untuk AS dan Israel digantung oleh FIFA, sepertimana yang dilakukan mereka ke atas Russia.
Tiada jaminan keselamatan di Mexico dan tiada siapa dapat menjamin tiada serangan akan dilakukan Iran ke atas AS. Mungkinkah Piala Dunia kali ini akan menjadi edisi paling hambar dalam sejarah?