Tonggak pertahanan Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili, menyifatkan kerjasama erat sepasukan sebagai kunci kejayaan Sang Penyu mengikat juara bertahan Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada malam ini, satu-satunya keputusan seri dilakar skuad Harimau Selatan itu selepas mencatat 20 kemenangan di pentas liga.
Tanpa berselindung, pertahanan Harimau Malaya itu mengakui bukan mudah untuk bawa pulang satu mata ke Gong Badak tatkala ia memerlukan komitmen penuh semua pihak sepanjang 90 minit perlawanan.
Advertisement
'Ubai' percaya keputusan seri yang diraih itu mampu dijadikan sebagai suntikan semangat bagi merealisasikan misi skuad Peteh menamatkan kempen Liga Super musim ini dalam kelompok lima pasukan terbaik.
Berbaki empat perlawanan, Terengganu kini menghuni kedudukan kelima liga dengan kutipan 32 mata hasil daripada sembilan kemenangan, lima kali seri serta enam kali tewas.
"Ini bukan satu perlawanan yang mudah. Kami perlu bersedia daripada fizikal dan mental semuanya berkait rapat. Kami telah berbuat yang terbaik sebagai sebuah pasukan dan setiap pemain menggunakan peluang dengan yang terbaik.
"Kami bukan hanya mahu sekat JDT sahaja, kami mahu tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
"Kemenangan ke atas Negeri Sembilan boleh menjadi sebagai titik tolak untuk kami bermotivasi," katanya.