Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, berjanji akan menjelaskan isu kelewatan pembayaran gaji Kuala Lumpur (KL) City, minggu depan.
Pertemuan hati ke hati antara pihak pengurusan, pemain dan barisan kejurulatihan sebelum perlawanan menjadi bukti bahawa dakwaan 'berjuang tanpa sokongan pengurusan' bukan lagi isu utama buat skuad Warga Kota.
Advertisement
"Beberapa pemain memanggil saya ke bilik persalinan hari ini (semalam) mengenai isu tunggakan gaji bulan lalu selama sebulan dan Insya-Allah akan dijelaskan minggu depan.
"Pemain juga berjanji akan fokus dan walaupun tunggakan gaji selama sebulan, kami perlu on track dalam soal ini.
"Kami bersikap terbuka terhadap keluhan pemain dan jurulatih. Kami tidak pernah balas balik sikap negatif dan apa pun, kami utamakan pemain," katanya.
Pengendali KL City, Risto Vidakovic, pula percaya dengan komitmen pengurusan untuk menunaikan janji berkenaan selain memuji keterbukaan mereka dalam menangani isu tersebut.
"Saya harap ia benar. Saya tidak mahu berbicara soal ini lagi dan paling penting pada minggu depan dilunaskan seperti yang dijanjikan di depan umum," katanya pula.
Pandangan sama turut disuarakan kapten, Paulo Josue, yang menyifatkan pertemuan itu sebagai sinar harapan buat pemain untuk menikmati “duit raya” menjelang syawal nanti.
"Amat penting untuk pemain dapat berjumpa pihak pengurusan dan syukur atas kemunculan mereka pada malam ini.
"Kami menghargai kehadiran mereka sambil berharap mereka dapat mengotakan kata-kata tatkala kami sedang memburu kedudukan kedua liga," kata pemain naturalisasi itu.
Terdahulu, Vidakovic mendedahkan KL City lewat menerima gaji selama dua bulan dan mereka tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada pengurusan walaupun mempamerkan prestasi baik dalam Liga Super serta Piala Malaysia.