Kontroversi melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia menjadi antara isu terbesar dalam bola sepak negara sejak tahun 2025.
Kes ini bermula dengan tindakan disiplin oleh badan bola sepak dunia, FIFA sebelum dibawa ke peringkat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Advertisement
Berikut kronologi lengkap perjalanan kes tersebut:
1. Mac 2025 -- Kemenangan Besar Malaysia Cetus Kontroversi
Isu bermula selepas Malaysia mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam, dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027, beberapa pihak kemudian mempersoalkan status dokumentasi pemain warisan yang beraksi dalam perlawanan tersebut.
2. April–Jun 2025 -- Aduan Rasmi Dikemukakan
Aduan rasmi berkaitan kelayakan pemain dihantar kepada FIFA. Badan induk bola sepak dunia itu membuka siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meneliti kesahihan dokumen yang digunakan oleh pemain warisan terbabit.
3. September 2025 -- FIFA Umum Hukuman Awal
Selepas siasatan selesai, FIFA mengumumkan beberapa hukuman, tujuh pemain warisan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. Setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 manakala FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Keputusan itu mencetuskan kejutan besar dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia kerana ia memberi kesan kepada perancangan skuad kebangsaan.
4. Oktober 2025 -- FAM Failkan Rayuan
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, FAM bersama pemain terlibat mengambil keputusan memfailkan rayuan di CAS, badan timbang tara tertinggi dalam pertikaian sukan antarabangsa.
FAM berhujah bahawa terdapat faktor tertentu dalam dokumentasi pemain yang perlu dinilai semula sebelum hukuman dikenakan.
5. Februari 2026 -- Sesi Pendengaran CAS
CAS menjalankan sesi pendengaran melibatkan wakil FAM, pemain terbabit serta wakil FIFA.
Panel CAS menilai semula bukti dokumentasi, proses kelayakan pemain serta hujah kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan akhir.
6. Mac 2026 -- CAS Longgarkan Hukuman Pemain
CAS akhirnya mengumumkan keputusan yang sedikit melegakan kem bola sepak Malaysia -- Hukuman terhadap pemain dilonggarkan berbanding keputusan asal FIFA namun denda RM1.8 juta terhadap FAM dikekalkan.
Keputusan itu memberi sedikit kelegaan kerana pemain terbabit tidak dikenakan hukuman seteruk yang diumumkan sebelum ini.
Walaupun keputusan CAS sedikit meringankan hukuman pemain, isu ini tetap menjadi salah satu kontroversi terbesar dalam sejarah moden bola sepak Malaysia dan memberi peringatan kepada pengurusan bola sepak negara agar lebih teliti dalam urusan pentadbiran dan dokumentasi pemain.