Skip to main content

Bola Sepak

Kongres AS desak FIFA turunkan harga tiket Piala Dunia

Kongres AS desak FIFA turunkan harga tiket Piala Dunia

Puluhan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), supaya menurunkan harga tiket bagi Piala Dunia 2026, dengan mendakwa penggunaan sistem harga dinamik atau berubah-ubah telah menjadikan kejohanan itu kurang mesra peminat.

Satu surat telah dihantar kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, digerakkan oleh wakil rakyat Sydney Kamlager-Dove dan ditandatangani oleh 68 lagi anggota Kongres sebagai tanda bantahan.

Advertisement

Dalam surat itu, mereka menekankan peminat tempatan dan antarabangsa yang hadir dari 11 Jun hingga 19 Julai berhak mendapat akses kepada tiket pada harga mampu milik.

“Permintaan tinggi terhadap tiket Piala Dunia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menekan harga sehingga menjejaskan rakyat yang menjadikan Piala Dunia acara sukan paling banyak ditonton di dunia,” kata surat itu yang dikongsi pada Rabu.

Menurut surat itu lagi, penggunaan harga dinamik untuk kali pertama pada Piala Dunia membolehkan harga tiket berubah berdasarkan pelbagai faktor termasuk permintaan semasa, inventori dan populariti perlawanan. 

Platform rasmi penjualan semula FIFA turut mencatatkan lonjakan harga yang ketara berbanding harga asal yang disenaraikan dalam dokumen bidaan tiga negara tuan rumah iaitu AS, Kanada dan Mexico.

“Ahli Kongres juga menegaskan keputusan tidak lagi menggunakan model harga statik tradisional dilihat sebagai 'mengutamakan maksima keuntungan' berbanding kebolehcapaian untuk peminat dan penduduk bandar tuan rumah,” kata surat itu lagi.

Akibat kontroversi harga yang tinggi, FIFA telah memperkenalkan sejumlah tiket bernilai $60 (RM235.74) yang terletak di sudut paling atas stadium, tetapi bilangan tiket ini sangat terhad berbanding kategori lain.

Dalam surat itu juga, ahli Kongres meminta FIFA menilai semula polisi tiket termasuk mengagihkan semula tiket yang tidak diperuntukkan pada harga lebih rendah, mengekalkan model harga statik untuk kejohanan akan datang dan memberi fleksibiliti kepada bandar tuan rumah untuk menganjurkan festival peminat bagi mereka yang tidak dapat menonton perlawanan secara langsung.

“Kami mendesak FIFA mengambil tindakan segera untuk membetulkan impak negatif penggunaan harga dinamik, yang menjadikan acara sukan terbesar dunia ini eksklusif dan berorientasikan keuntungan, di mana secara tidak langsung menjejaskan peminat, komuniti tuan rumah, dan pembayar cukai,” kata surat itu.

Topik Berkaitan

Must Watch Video