Ejen bola sepak tempatan, Effendi Jagan Abdullah, mempercayai bahawa Selangor terpaksa 'pecah tabung' bagi menandatangani bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Gergasi Merah mengumumkan ketibaan pengendali kelahiran Korea Selatan itu menggantikan Christophe Gamel yang kini didaftarkan sebagai pengarah teknikal kelab.
Advertisement
Menurut Effendi yang juga berdaftar di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pan Gon dianggarkan menerima bayaran gaji mencecah hampir RM150,000 sebulan daripada kelab tersebut.
"Dia ada banyak kategori. Mungkin Pan Gon dalam kategori C atau D. Tapi, ia masih mahal untuk kita.
"Saya juga berpendapat gaji dia sangat mahal. Itu jangkaan saya. Mungkin dia datang dengan nilai yang rendah, kita tidak tahu.
🚨Official and confirmed, Kim Pan Gon to Selangor. Perpindahan ini difahamkan menjadikan KPG antara jurulatih termahal Liga Malaysia. Welcome back KPG. 📈🎯@ASTROARENA https://t.co/ewe4iL5QnS
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 5, 2026
"Atau dia hadir dengan pakej tersendiri. Jika dia melepasi beberapa sasaran, mungkin dia boleh meminta kenaikan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Pelantikan itu sekali gus menyaksikan KPG kembali ke Malaysia selepas meninggalkan skuad kebangsaan pada Julai 2024, dan meletakkannya antara jurulatih termahal Liga Malaysia (Liga-M) berdasarkan pendapatannya ketika bersama Harimau Malaya.
"Kita harus memberi Pan Gon peluang. Dia seorang jurulatih yang bagus dan mempunyai reputasi yang baik.
"Kita perlu menunggu ada 'material' atau tidak daripadanya. Jika tiada, ia memang sukar," tambahnya.