Pengarah Teknikal YSD Track Series, John Beasley, membayangkan pelapis berbasikal trek negara berdepan dilema dengan pertembungan jadual di antara Kejohanan Dunia Remaja dan Sukan Malaysia (Sukma).
Beasley merumuskan penganjuran kejohanan ini yang memasuki empat musim sebagai amat memberangsangkan, dengan beberapa calon berpotensi mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia sedikit masa lagi.
Advertisement
Namun, Beasley mendedahkan anak buahnya mungkin terpaksa melupakan Kejohanan Dunia Remaja di Belgium kerana terikat dengan persatuan negeri untuk komitmen Sukma pada Ogos depan.
"Pelapis negara sudah berhempas pulas selama dua tahun dalam kancah remaja dunia untuk capai tahap seperti ini.
"Tapi sayangnya jadualnya bertembung dengan Sukma," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Dalam masa sama, Beasley berkata Siri Trek YSD ini mencapai matlamatnya dalam usaha terus melahirkan pelumba yang berwibawa.
"Kita banyak terhutang budi dengan program dan kerjasama ini yang sudah bermula sejak 2009 yang merangkumi perlumbaan membabitkan Datuk Azizulhasni Awang seperti dalam Kejohanan Dunia.
"Dengan program akan diteruskan beberapa tahun lagi dan berkesempatan meliuhat perkembangan sukan ini adalah sesuatu yang istimewa, ia satu perkembangan yang menarik buat sukan ini di negara," katanya lagi.
